Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu bertindak menggantung
dirinya di dalam bilik air rumahnya di Flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri
Relau dekat sini semalam selepas mengadu mengenai kerja sekolah yang terlalu
banyak.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang
berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu, remaja berkenaan masuk ke dalam bilik air rumahnya untuk
mandi, bagaimanapun dia tidak keluar dari bilik air selepas kira-kira 30 minit
sehingga menyebabkan bapanya curiga dan
bertindak membuka pintu bilik air.
Loading...
“Sebaik berjaya membuka pintu bilik air, lelaki itu
mendapati anaknya dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum mangsa
diturunkan dan diberikan bantuan pernafasan oleh ayahnya. Mangsa dikatakan
muntah sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans,” katanya dalam
kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Che Zaimani berkata pelajar itu meninggal
dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan pemeriksaan mendapati kematian
mangsa tiada sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata temu bual bersama ibu bapa mangsa juga
mendapati, anak bongsu daripada dua beradik itu sering merungut kerana kerja
sekolah yang terlalu banyak.
“Pada malam kejadian, ibu remaja itu memintanya menyiapkan kerja sekolah selepas
mendapat panggilan telefon daripada guru sekolahnya yang mendakwa mangsa tidak
menyiapkan kerja sekolah,” katanya. — Bernama


