Tindakan Pasukan Tindakan Seni Khat (Sekat) mahu meyakinkan
ibu bapa berhenti menghantar anak-anak mereka sebagai tanda protes terhadap
pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan dianggap bodoh sombong.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu sanggup menghalang anak mereka
mendapatkan pendidikan hanya kerana takut subjek yang hanya melibatkan tiga
muka surat.
"Sanggup menghalang anak daripada mendapat pendidikan
hanya kerana takut tiga muka surat berkenaan jawi yang tidak dimasukkan ke
dalam peperiksaan dan sudah pun menjadi pilihan.
Loading...
"You cannot get more bodoh sombong than this (Anda
tidak boleh menjadi lebih bodoh sombong daripada ini)," katanya dalam satu
hantaran di Facebooknya, hari ini, lapor Sinar Harian.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Sekat menggesa
Kementerian Pendidikan menangguhkan pelajaran jawi atau khat kepada murid
sekolah vernakular sehingga mendapat jawapan yang jelas mengenai masalah itu.
Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy berkata, kumpulan itu sedang
berusaha mengadakan dialog dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian baik
mengenai perkara berkenaan.
Arun berkata, sekiranya permintaan untuk mengadakan dialog
tidak dipenuhi, kumpulan itu akan meyakinkan ibu bapa untuk berhenti menghantar
anak-anak mereka ke sekolah sebagai tanda protes.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk meneruskan
pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid
sekolah rendah tahun 4 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) mulai tahun
2020.


