Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terpulang kepada polis untuk
menentukan sama ada Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong),
perlu diharamkan atau tidak.
Perdana Menteri berkata kumpulan itu menentang undang-undang
jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama
lain.
Loading...
”Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap
sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara
satu sama lain.
”Tapi Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum, dan lupa
bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” kata beliau bila ditanya mengenai
petisyen online, dilancarkan oleh sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia,
yang mendesak kumpulan pendidik Cina itu diharamkan.
Menurut laporan media, petisyen itu dibuat berikutan
petisyen dilancarkan oleh Dong Zong pada Ahad menentang pengajaran tulisan khat
Jawi di sekolah-sekolah vernakular.
Bercakap kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-21
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di sini hari ini, Dr
Mahathir juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa Dong Zong adalah satu kumpulan rasis dan ia
tidak pernah berjuang untuk Malaysia secara keseluruhannya, kecuali untuk satu
kaum di negara ini.
“Ini negara pelbagai kaum, anda mesti juga memikirkan
tentang perasaan kaum lain. Bila kita buat sesuatu kita perlu fikir apa kaum
lain akan kata.
“Jika mereka tidak suka, mereka perlu cuba beri ruang,” kata
beliau.
Dr Mahathir mengimbau, ketika beliau mencadangkan agar
Malaysia mewujudkan sebuah Sekolah
Wawasan untuk menyatu padukan rakyat, Dong Zong menentang idea itu, oleh
kerana ia berpendapat ini bererti pelajar Cina terpaksa bergaul dengan
kaum-kaum lain.
“Ini adalah cara berfikir yang cukup rasis. Apa salahnya
(pelajar) MeIayu, Cina dan lain-lain pergi sekolah bersama. Semasa saya di
sekolah, terdapat semua kaum, (pelajar) Bengali ada, India ada, Cina ada.
“Ini semua OK, tetapi menurut Dong Zong mereka tidak boleh
berdekatan langsung antara satu sama lain, mengadakan perhimpunan bersama. Ia
sebuah badan rasis ditumpukan semata-mata untuk mempertahankan kaumnya,” kata
beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai gesaan Menteri Sumber
Manusia M. Kula Segaran agar tindakan diambil terhadap pendakwah Zakir Naik
kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu di Malaysia, Dr Mahathir
berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah ia (Zakir) tidak boleh dihantar
pulang kerana bimbang ia akan dibunuh.
“Jadi, dia ada di sini hari ini, tetapi jika mana-mana negara
mahukan beliau, ini disambut baik,” kata Dr Mahathir.
Ditanya mengenai ceramah Zakir baru-baru ini di mana ia
mendakwa orang Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India
Narendra Modi daripada beliau, Dr Mahathir berkata: “Anda boleh tanya mereka
(Hindu) la, kenapa tanya saya? Mana saya tahu?” — Bernama


