Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan wang
berjumlah RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda kerana dikatakan ada
kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB dilucut hak kepada kerajaan
Malaysia.
Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan
demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memaklumkan reponden
(Akademi Pemuda) tidak membantah terhadap permohonan untuk melucutkan hak harta
itu.
Loading...
Dalam prosiding semalam, Akademi Pemuda tidak diwakili
peguam dan wakilnya juga tiada di mahkamah.
Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut
Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya
baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41
responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai
kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan selepas
SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan dari akaun bank Najib Razak. - Bernama


