Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengenakan
tindakan terhadap mana-mana ahli yang membuat pengumuman yang menjejaskan imej
parti dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa
disiplin perlu wujud dalam partinya dan ahli-ahli khususnya dalam Majlis
Presiden dan Majlis Tertinggi di mana terdapat ahli yang mengeluarkan kenyataan
bahawa PH akan kalah sekiranya pilihan raya umum diadakan.
Loading...
Dr Mahathir berkata tindakan ahli parti tersebut secara
tidak langsung merosakkan imej PH yang sedang berusaha membaik pulih negara
selepas mengambil alih tampuk kepimpinan pada tahun lalu.
“Ahli-ahli yang pegang jawatan perlu berhati-hati dalam
membuat pengumuman dan kenyataan. Kalau mereka membuat pengumuman yang
merosakkan imej parti, maka tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Kami akan adakan penyelidikan dan kemukakan kepada Majlis
Disiplin dan kemudiannya membuat laporan kepada Majlis Tertinggi untuk diambil
tindakan seperti yang dicadangkan,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada
Khamis seperti dilapor Astro Awani.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata ia tidak bermakna Bersatu
tidak memberikan kebebasan kepada ahlinya untuk menyuarakan pendapat.
“Ahli-ahli boleh memberi ulasan tetapi jangan kata parti ini
akan kalah. Kenyataan tersebut merosakkan imej parti,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau merujuk kepada kenyataan
oleh Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff di
sebuah forum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu, beliau
menjawab terdapat kemungkinan.
Pada Rabu, Rais berkata pada forum ‘Pilihan Raya-Pilihan
Raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15’ bahwa PH bakal berdepan dengan
kekalahan dalam melawan UMNO-Pas jika pilihan raya umum diadakan dalam masa
terdekat.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai jawatan
‘pakar strategi’ dalam parti Bersatu dan berkata tiada jawatan sebegitu dalam
partinya.
“Kami tidak ada pakar strategi dalam parti kami.
“Saya tidak tahu siapa yang melantik siapa.
“Itu bukan lantikan rasmi. Itu gelaran yang diberikan oleh
diri sendiri,” tambahnya.


