Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis semalam bagi membantu siasatan terhadap satu hantaran
di Facebook berunsur perkauman yang dipaparkan dalam artikel sebuah portal Rabu
lepas.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad
berkata suspek itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, jam 3
petang.
“Hasil siasatan awal, suspek menyatakan akaun Facebooknya
telah digodam.
Loading...
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505© Kanun Keseksaan dan
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selain permohonan reman ke atas
suspek akan dibuat esok untuk siasatan lanjut pihak polis,” katanya kepada
Bernama, semalam.
Beliau berkata penahanan lelaki terbabit susulan daripada
laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli politik berusia 49 tahun setelah
pengadu terbaca satu artikel bertajuk ‘Jakim siasat FB Pegawai Didakwa Saran
Sedia Parang Untuk Si Kafir’ di sebuah portal berkenaan.
Roslan Bek berkata laporan polis dibuat oleh pengadu pada
Jumaat lalu kerana berasa bimbang perkara tersebut mampu mengganggu-gugat
ketenteraman awam dan keamanan negara.
Katanya polis memandang serius isu ini dan tidak
teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan
undang-undang sedia ada.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat
kenyataan berbaur perkauman yang boleh menjejaskan ketenteraman awam ataupun
menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya
dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau
mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. — Bernama


