Tidak puas hati dengan ramai pihak yang mensensasikan
syarahan pendakwah Islam Dr Zakir Naik, anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr
Riduan Mohamad Nor secara sinis berkata beliau “mendoakan” agar Presiden PKR
Anwar Ibrahim terus kekal sebagai bakal perdana menteri.
Pemimpin PAS itu berkata demikian susulan kenyataan Anwar
yang tidak bersetuju dengan pendekatan dakwah Zakir yang dilihat menyentuh
perkauman di negara ini.
Loading...
“Anwar Ibrahim sebagai tokoh PH juga mengulas dalam keadaan
tidak memberikan keuntungan kepada Dr Zakir sehingga saya terus mendoakan agar
Anwar terus kekal sebagai bakal perdana menteri.
“Puncanya satu, iaitu isu Dr Zakir sekarang ini menjadi panas
menggelegak sebabnya ia diapungkan oleh pemimpin DAP, pemimpin kerajaan yang
tak mesra syariah, kelompok muslim liberal dan Hindraf,” katanya melalui
tulisan di Harakahdaily hari ini.
Mengikut konsensus PH, Anwar akan menggantikan Dr Mahathir
Mohamad sebagai perdana menteri kelapan pada satu tarikh yang masih belum
ditetapkan.
Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah
kerajaan BN pada 2012 turut mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di Malaysia
yang dikatakan lebih mempercayai Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding
Mahathir.
Penceramah itu bagaimanapun telah memohon maaf susulan
ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam.
Dalam tulisannya, Riduan juga membuat perbandingan nasib
Zakir sewaktu pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak dan yang terkini oleh
Pakatan Harapan.
“Ironinya, Dr Zakir Naik yang kini namanya diratib kawan dan
lawan telah lama mendapat PR (Pemastautin Tetap), iaitu di zaman Najib menjadi
perdana menteri.
“Dalam tempoh dua tahun ini, beliau dijemput ke merata
tempat untuk memberikan syarahan perbandingan agama, tapi tiada yang
mensensasikan syarahan Dr Zakir seperti mutakhir ini sehingga memicu kepada isu
perkauman,” katanya yang mendakwa ucapan tersebut diputarbelit oleh media, lapor Malaysiakini.
Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan
Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium, termasuk media
sosial.
Abdul Hamid berkata, larangan memberi ceramah di seluruh
negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

