Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan
untuk melanjutkan had umur bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun.
Beliau setuju dengan pendapat Menteri Belia dan Sukan Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengekalkan had umur bersara pada 60 tahun agar
ia tidak menyekat peluang pekerjaan generasi muda.
Loading...
“Jangan kata perdana menteri berumur 94 tahun tidak bersara
pun. Saya bukan tidak bersara, tetapi dipanggil semula untuk bekerja.
“Kalau kita tetapkan pegawai bersara umur 65 tahun, ‘deadwood’
nanti pun duduk atas kerusi itu dan orang lain tidak boleh duduk (naik
pangkat).
Iklan
“Bagi saya, eloklah sampai 60 tahun,” katanya pada satu
sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi tiga harinya ke
Kemboja, hari ini.
Dr Mahathir berkata terdapat negara yang tiada had umur
bersara dan mereka boleh kerja sampai bila-bila tetapi ia akan menyekat peluang
generasi muda.
“Zaman saya dulu, kita melanjutkan had usia bersara dari 55
kepada 56 tahun sebelum ia dilanjutkan sehingga 60 tahun oleh kerajaan selepas
saya,” katanya.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar
had usia bersara dilanjutkan kepada 65 tahun seperti di negara-negara maju,
termasuk Singapura.
Semalam, Syed Saddiq membantah cadangan itu berkata kerajaan
harus memberi fokus untuk menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada
generasi muda dan bukan menyekat potensi mereka.
- Bernama


