Bekas pegawai khas kepada Najib Razak memberitahu Mahkamah
Tinggi hari ini bahawa beliau amat tertekan ketika diarahkan untuk pergi ke
China bagi menjalankan tugas sulit 'menyelamatkan' hutang 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), pada Jun 2016.
Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata beliau mula
diarahkan sendiri oleh Najib setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin
Alias meninggal dunia dan ia bermula dengan arahan untuk pergi ke China
bertujuan mengesahkan terdapat persefahaman untuk meningkatkan hubungan dan
pelaburan Malaysia-China.
"Datuk Seri Najib sendiri telah meminta saya untuk
datang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara ini dan
memberitahu lawatan itu akan diuruskan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho
Low.
Loading...
"Saya terpaksa akur walau pada masa itu saya cukup
tertekan dan ada terlintas untuk berhenti kerja kerana arahan ini sangat
membebankan saya, lebih-lebih lagi semenjak Datuk Azlin tiada. Namun saya
terpaksa menurutinya kerana beliau adalah bos saya, apatah lagi beliau adalah
Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam keadaan sebak.
Saksi penting pendakwaan itu yang membacakan penyataan
saksinya berkata Jho Low dalam masa sama turut menghubunginya bagi menyampaikan
arahan mengenai agenda dan program lawatannya ke China.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian pada
pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari
keempat perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa atas empat pertuduhan
menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam
dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.
Beliau berkata, walaupun menghormati Ahli Parlimen Pekan
itu, beliau bimbang sekiranya akan dilibatkan sama dalam percaturan antara
Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu
kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment
Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.
Beliau juga yang bimbang akan ancaman dan kesusahan yang
akan dihadapinya sekiranya arahan Najib tidak dipatuhi ketika itu.
Membawa kapasiti sebagai wakil diplomatik Najib dalam
lawatan sulit ke China pada 27 Jun 2016, saksi itu berkata beliau hanya
mengetahui Jho Low akan turut hadir menyertai lawatan perbincangan sama
setibanya beliau di negara itu.
"Terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima
daripada Jho Low pada saat-saat akhir dan ia kelihatan seperti sudah ada
seseorang yang membincangkan terma-terma berhubung perkara ini (pelaburan Malaysia-China)
lebih awal.
"Namun begitu, berdasarkan ‘talking points’ dan ‘action
plan’ (nota maklumat dan pelan tindakan) Jho Low kepada saya, perjanjian dan
usahasama ini merupakan satu pelaburan yang akan membantu membayar balik hutang
1MDB seperti bayaran hutang 1MDB ke IPIC," katanya sambil menambah
kesemuanya sudah dirancang oleh Najib dan Jho Low untuk menggunakan perjanjian
dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China bagi tujuan ini.
Saksi itu turut mengesahkan lawatannya ke China itu hanya
diketahui oleh Najib dan Jho Low sahaja berdasarkan kesimpulan melalui
perbincangan bersama syarikat dari China tersebut adalah bagi mendapatkan
bantuan untuk membeli syer bagi menebus hutang 1MDB.
"Semasa di sana, saya telah menggunakan input daripada
Jho Low untuk courtesy call (kunjungan hormat) bagi mengukuhkan lagi hubungan
dua hala ini.
"Dia telah membawa saya untuk berjumpa pegawai kanan
dari State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State
Council (SASAC) yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China.
"Jho Low memainkan peranan aktif dengan hujahannya bagi
membincangkan cadangan projek yang dikenal pasti tetapi saya tidak faham
sesetengah perkara kerana dia bercakap dalam bahasa Mandarin, hanya sesekali
butiran perbincangan itu diterjemahkan kepada saya," katanya sambil
menambah arahan-arahan sulit dari Najib hanya diterima beliau selepas isu
penyelewengan dana 1MDB tersebar luas.
Bagaimanapun, berdasarkan isi kandungan ‘talking points’
yang disediakan Jho Low, saksi itu berkata jelas bahawa antara agenda yang
dibawa dalam lawatan ke China itu adalah kehendak Najib untuk membawa pelabur
GLC China ke Malaysia dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC
International Sdn Bhd.
"Antara ‘talking points’ dalam perbincangan pada 28 Jun
2016 yang membawa mesej daripada Datuk Seri Najib adalah penawaran syarikat
State owned Enterprise (SOE) untuk terlibat sama dalam projek infrastruktur dan
sekali gus menyelesaikan masalah hutang yang dihadapi 1MDB dan SRC, selain akan
menyokong dan mempromosikan kerjasama ekonomi yang lebih rapat dengan China.
"Ayat ‘while simultaneously completely resolving 1MDB
and SRC debts’ jelas membawa maksud Datuk Seri Najib ingin menyampaikan mesej
bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC melalui ‘bailout’
hutang-hutang 1MDB.
"Selain itu, ia turut menyatakan bahawa Malaysia
berhajat untuk berbincang dengan SOE dalam tiga projek yang sedang dikaji
kerajaan iaitu pembangunan Pulau Labuan sebagai pusat perbankan luar pesisir
dan pusat pelancongan, pembangunan saluran paip petroleum dari Port Klang ke
Kuala Kedah serta kajian dan pembangunan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke
Bangkok," katanya.
Tambahnya lagi, ‘talking points’ yang disediakan Jho Low ini
bagi mengesahkan bahawa Najib sendiri meluluskan kerjasama ini dan akan
diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh Jho Low kepada pihak China.
"Nota yang diberikan Jho Low turut mengandungi satu
ayat yang berbunyi "I will now handover to Mr Liu to provide a detailed
explanation of the economic program" (Saya kini akan menyerahkan kepada
Encik Liu untuk memberikan butiran penjelasan mengenai program ekonomi itu)
yang perlu dibaca oleh saya. "Mr Liu" itu merujuk kepada Jho Low yang
mana sebutan "Liu" adalah sebutan dalam bahasa Mandarin," kata
saksi itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama


