Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera
badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi
menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui
memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas
seperti memukul orang yang disiasat.
Loading...
“Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia
bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan
oleh pegawai ke atas pelanggan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.
“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan
akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita
ingin tahu siapa yang betul.
“Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada
dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata Dr Mahathir.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya
belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.
Perdana Menteri berkata selain kamera badan, mesyuarat
JKKMAR turut bersetuju supaya penggunaan teknologi dalam operasi Jabatan Kastam
Diraja Malaysia (JKDM) dipertingkatkan dengan mewujudkan pusat kawalan
setempat, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan menambah mesin
pengimbas berteknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta Alat Bantuan Operasi (ABO).
Katanya ini berikutan negara mengalami kebocoran hasil di
pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat masalah
integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini.
Dr Mahathir berkata pemantauan dengan pemasangan CCTV turut
akan dipertingkatkan di pintu-pintu masuk negara dan depot tahanan Jabatan
Imigresen Malaysia (JIM) bagi memantapkan pemeriksaan serta meningkatkan
kecekapan jabatan itu dan integriti pegawainya.
Selaras dengan janji kerajaan untuk menjadikan Polis Difaja
Malaysia (PDRM) pasukan yang dihormati dan disegani, katanya penyelenggaraan
dan penggunaan CCTV dalam lokap-lokap PDRM akan dipertingkatkan bagi memastikan
ketelusan, mencegah salah laku dan menangani masalah kematian dalam tahanan.
“Lokap perlu mempunyai kamera supaya kita tahu apa yang
sebenarnya berlaku,” katanya.
Dr Mahathir berkata terdapat permintaan daripada PDRM, JKDM
dan JIM bagi menambah pegawai susulan penambahan bilangan pelancong dan pekerja
asing ke negara ini.
Katanya walaupun ketika ini jumlah kakitangan awam terlalu
ramai sehingga mencecah 1.7 juta orang, namun kerajaan perlu memikirkan kaedah
yang sesuai bagi memastikan operasi ketiga-tiga jabatan itu tidak terjejas
akibat kekurangan pegawai.
“Mungkin kita boleh tukarkan beberapa orang yang sudah
bekerja untuk tugas yang lebih penting kerana kita tak boleh tambah terlalu
banyak memandangkan kita tak mempunyai wang yang cukup,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR juga
mengambil maklum bahawa satu arahan Perdana Menteri akan disediakan mengenai
panduan dan tatacara pengeluaran penyataan sokongan dalam apa jua bentuk oleh
anggota pentadbiran.
Katanya arahan itu turut terpakai kepada semua pegawai awam di peringkat persekutuan, dan
juga dipanjangkan serta tertakluk kepada penerimaannya di peringkat negeri,
pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Menjelang sesi ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Okt, Dr Mahathir
berkata kerajaan akan memastikan bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang berintegriti tinggi
dan pengurusan governans yang baik terus dilaksanakan melalui
inisiatif-inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP). —
Bernama


