Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 Sept
untuk sebutan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas perdana
menteri Najib Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah
AS$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan
Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan pihaknya masih belum
dapat melengkapkan beberapa dokumen berhubung kes itu.
Loading...
“Pihak pendakwaan perlu mendapatkan beberapa dokumen
daripada Amerika Syarikat namun memerlukan sedikit masa kerana dokumen itu dari
luar negara. Beberapa dokumen lain telah diserahkan kepada pihak pembelaan
mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya semasa sebutan kes hari
ini.
Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42,
mengesahkan perkara itu namun meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua
dokumen seawal mungkin.
Mohamad Mustaffa berkata pihaknya akan mempercepatkan proses
untuk mendapatkan semua dokumen berkaitan kes itu.
Hariharan memaklumkan pihak pembelaan telah memfailkan
permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lepas dan
Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Sept untuk pendengaran.
Mohamad Mustaffa ketika ditemui pemberita selepas prosiding
berkata, pihak pendakwaan membantah permohonan pembelaan dan berharap kes itu
dapat diteruskan di Mahkamah Sesyen.
Pada 5 Julai lepas, Riza, pemilik syarikat Red Granite
Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall
Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu
menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu
transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star
Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los
Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.
Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas
dana 1MDB.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12
Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los
Angeles, California, AS.
Riza, anak Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu,
dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi
pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 Sept, 2012 dan 10 Okt, 2012 di tempat
sama.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan
perbuatan sama berjumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi
pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS
Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura
bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek
Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun, 2012 dan 23 Okt,
2012.
Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan
kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov, 2012.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan
Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram
2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan
hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama


