Kerajaan memberi jaminan kawasan Kampung Baru akan kekal 100
peratus milik Bumiputera menerusi pelan pembangunan semula Kampung Baru yang
akan dibangunkan kelak.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosio Ekonomi)
Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Rosida Jaafar berkata fitnah dan dakyah
yang cuba ditimbulkan segelintir pihak apabila kerajaan menghidupkan cadangan
pembangunan semula Kampung Baru secara bersepadu adalah tidak tepat.
“Model pembangunan telah siap dan kami mahukan persetujuan
100 peratus daripada penduduk. Jadi saya alu-alukan kedatangan pada sesi
townhall bersama penduduk 21 Sept ini yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda.
Loading...
“Setelah bertahun kerajaan cuba bangunkan Kampung Baru, maka
pada sesi itu, kami akan selesaikan mengenai isu harta pusaka dan pemilikan,”
katanya pada program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.
Beliau berkata pada sesi itu segala persoalan berbangkit
akan diselesaikan sekali gus menepis segala usaha membantutkan pelan
pembangunan semula Kampung Baru.
“Inilah masa penduduk Kampung Baru perlu bersetuju untuk
bangunkan kawasan itu bersama kerajaan, dan saya pasti pelabur asing akan
berminat untuk melabur. Jangan takut mengenai isu pemilikan kerana ia tetap
milik penduduk hanya modal sahaja dari orang luar. Pembangunan ini akan
dinikmati bersama,” katanya.
Menurutnya, objektif utama sesi pertemuan itu diatur
bertujuan mendapatkan maklum balas, persetujuan dan pandangan serta mengetahui
apa yang diinginkan pemilik dan pewaris berhubung pembangunan di kawasan itu.
Mengenai Projek Taman Warisan Melayu bagi mengekalkan
identiti Melayu di kampung yang berusia hampir 120 tahun dan terletak di tengah
kota raya itu, Rosida berkata sebanyak 11 rumah warisan di Kampung Baru bakal
dibina semula dan dipulihara.
Katanya, perusahaan makanan terkenal juga akan dipindahkan
ke kawasan berkeluasan sekitar 10 hektar itu bagi memberi peluang kepada pelancong
menikmati suasana perkampungan Melayu.
“Kedai terkenal sedia ada seperti Nasi Lemak Wan Jo,
kedai-kedai tomyam seperti Suraya akan ditempatkan di bangunan lebih moden di
Taman Warisan yang lebih tersusun dan moden. Tetapi kalau ada kedai yang ada nilai
warisan, ia mungkin akan kekal di lokasi asal,” kata Rosida.
Mengulas mengenai pendekatan promosi, beliau menjelaskan
bahawa kemudahan pengangkutan akan ditambah baik selain membina laluan pejalan
kaki bagi memudahkan orang ramai termasuk pelancong untuk ke kawasan itu.
“Ketika ini kami tumpu kepada pembangunan infrastruktur
seperti memperkukuh pengangkutan awam dan laluan pejalan kaki. Promosi akan
dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta
Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang ditubuhkan pada 2011,” katanya.
Mengakui bahawa pihaknya melalui pelbagai cabaran, Rosida
berharap pembangunan kampung tradisi itu akan menemui jalan penyelesaian dan
penduduk memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk merealisasikan projek
pembangunan itu. — Bernama


