Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had umur
bersara mandatori daripada 60 kepada 65 tahun di negara ini seperti yang
dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata pihaknya telah
mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memperhalusi beberapa
perkara sebelum membuat keputusan berkenaan perkara itu.
“Kita telah memberi beberapa pandangan dan tujukan kepada
Kementerian Kewangan termasuk mengenai permintaan kenaikan pemberian elaun kos
sara hidup (Cola),” katanya.
Loading...
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada
program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, Ipoh bersama Adun
Kepayang, Dr. Ko Chung Sen dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim
di sini hari ini.
Semalam, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa
kerajaan memperkenalkan pemberian elaun Cola bulanan RM500 atau lebih kepada
pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara
mandatori kepada 65 tahun.
Ditanya sama ada cadangan itu relevan kerana dikhuatiri
mengurangkan peluang pekerjaan kepada generasi muda, Kulasegaran berkata
cadangan peningkatan had umur bersara itu dilihat mampu memberi kebaikan kepada
negara pada masa hadapan.
“Negara ini kekurangan tenaga kerja dan bukannya kekurangan
peluang pekerjaan. Kita mengambil ramai pekerja asing disebabkan negara ini
kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Katanya kebanyakkan kadar pengangguran di negara ini terdiri
daripada golongan muda termasuk graduan yang baru menamatkan pelajaran.
Beliau berkata golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan
dicadangkan menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang
menekankan pendekatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan
sekaligus memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan dalam bidang berkaitan. — Bernama


