Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai menjadi bahasa ilmu
dan pengetahuan agar istilahnya kekal segar seiring kemunculan istilah dalam
pelbagai bidang antaranya ekonomi, politik, undang-undang termasuk bidang
digital dan teknologi.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata semua pihak
seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan
peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan
mengantarabangsakan Bahasa Melayu.
Loading...
“Sebar luaskanlah usaha-usaha yang mengangkat bahasa rasmi
negara ini. Biar ia kembali lahar dan gempita,” katanya ketika berucap
merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana
Menteri (PABM) 2019 di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Naib
Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari.
Terdahulu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata Bahasa
Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara
tetapi juga di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah,
Afrika dan Amerika Syarikat.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu
kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, dan kategori
Antarabangsa.
Bagi kategori Alam Melayu ia dimenangi Amirul Iqmal Razlan
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala juara kategori
pelajar Antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang
merupakan penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli
dari Uzbekistan State University of World Languages, dinobatkan pemenang
kategori Antarabangsa.
loading...
Sementara itu, Sano berkata beliau yang telah berada di
Malaysia selama 10 tahun berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi
pertandingan ini.
“Saya gembira ramai cikgu-cikgu dan rakan-rakan banyak
tolong saya. Saya hanya mengambil masa sebulan untuk berlatih dan tidak
menyangka boleh menang pertandingan ini,” katanya yang berusia 22 tahun.
Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima RM10,000,
piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dan
ketiga bagi setiap kategori membawa pulang RM8,000 dan RM5,000 serta piala
iringan dan sijil penyertaan. — Bernama


