Mynewsblog

Sumber Isu semasa,berita, ekonomi, bisnes, kewangan,automotive, politik dan sebagainya.

Mohd Bakke tak puas hati AS$700j masuk akaun Good Star


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu salah seorang Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Mohd Bakke Salleh, tidak berpuas hati dengan pembayaran sebanyak AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik Low Taek Jho - atau Jho Low - yang merupakan syarikat sekutu PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau melaporkan status terkini usahasama (JVCo) 1MDB-PSI dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusikan Mohd Bakke.


Loading...

Katanya, ia dihadiri semua BOD selepas kesemua proses usahasama berjaya.

"Saya melaporkan status terkini usahasama itu di mana 1MDB membayar saham kami sebanyak US$1 bilion dalam dua transaksi berbeza, masing-masing US$700 juta ke akaun Good Star iaitu sekutu kepada PSI dan juga US$300 juta ke akaun JVCo.

"Tan Sri Bakke menyoal semula tindakan berkenaan dan meminta justifikasi mengapa US$1 bilion tidak dimasukkan ke akaun JVCo?



"Saya menjelaskan kesemua maklum balas berdasarkan apa yang dimaklumkan Jho Low sebelum ini iaitu akaun Good Star adalah milik PSI dan bayaran itu adalah untuk pendahuluan dari pihak PSI ke JVCo," katanya.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram, pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib Razak.

loading...
Bekas perdana menteri itu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Shahrol Azral berkata PetroSaudi Cayman adalah anak syarikat PSI dan syarikat itu berhutang dengan PSI melalui aset yang dinilai lebih daripada US$1.5 bilion.

"Oleh sebab itu, mereka perlu membayar hutang berkenaan kembali kerana aset telah dijadikan ekuiti JVCo.

"Tan Sri Bakke tetap tidak berpuas hati dan marah kepada saya serta pengurusan termasuk kepada pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang, yang menguruskan transaksi itu.

"Beliau mengarahkan kami untuk cuba mendapatkan semula AS$700 juta itu dari PSI kerana ia tidak dimasukkan ke dalam akaun yang sah iaitu akaun JVCo," katanya.

Shahrol Azral menambah terdapat usaha untuk mengambil semula AS$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Good Star itu dan dibincang serta dibentangkan dalam satu mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB di Hotel Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya pada 3 Okt 2009.

"Dalam usaha untuk mendapatkan semula wang itu, saya dan Casey telah diarahkan oleh BOD untuk pergi ke London, dengan kadar segera untuk berunding dengan dua wakil PSI, Tarek Obaid dan Patrick Mahony.

"Pertemuan dibuat di pejabat White & Case iaitu peguam PSI. Pada masa itu Jho Low tidak berada bersama kami tetapi saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa saya sedang berunding dengan PSI," katanya.

Shahrol Azral berkata Tarek dan Mahoney menolak bulat-bulat permintaan itu atas alasan bahawa aset berkenaan diletakkan di bawah 1MDB-PetroSaudi Ltd iaitu JVCo yang sah dan menurut mereka, aset itu bernilai tinggi dan ia tidak boleh dirundingkan kerana pihak 1MDB telah menandatangani perjanjian dan akan berlaku pelanggaran kontrak sekiranya wang dipulangkan.

Pada 10 Okt 2009, Shahrol Azral berkata, sekali lagi mesyuarat BOD 1MDB yang dihadiri Mohd Bakke bagi menjelaskan semula berhubung semua perkara membabitkan usahasama itu.

“Bagaimanapun Mohd Bakke masih tidak berpuas hati dengan semua penjelasan yang diberikan.

"Selang tidak berapa lama kemudian beliau meletakkan jawatan.

"Saya tidak tahu sebab sebenar beliau meletakkan jawatan tetapi dapat rasakan kemungkinan beliau tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dalam proses usahasama ini,” katanya.

Sementara itu ketika dirujuk kepada Minit Mesyuarat Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 16 Okt 2009, saksi itu berkata ia adalah mesyuaratnya dengan Najib.

“Ia bagi memperincikan kepada Najib berhubung isu berkaitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan laporan terkini berkaitan perjalanan operasi syarikat serta usahasama PSI. Ahli Lembaga Pengarah meminta penilaian semula aset JVCo.

“Najib mengarahkan tidak perlu diadakan penilaian aset selepas mengambil kira faktor hubungan dua hala, kewangan dan reputasi negara.

"Pada pandangan saya mesyuarat ini hanyalah untuk sahkan arahan Najib dalam bentuk minit mesyuarat yang diambil tindakan oleh saya,” katanya.

Najib, 66, didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di AmIslamik Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, manakala semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama
Loading...
loading...