Mynewsblog

Sumber Isu semasa,berita, ekonomi, bisnes, kewangan,automotive, politik dan sebagainya.

'Jho Low kemuka perjanjian palsu supaya AS$700j masuk akaun syarikatnya'


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah mengemukakan perjanjian palsu kepada sebuah bank bagi membolehkan wang USD700 juta masuk ke dalam syarikat miliknya, Good Star Limited (Good Star).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata Jho Low telah membuat Perjanjian Pengurusan Pelaburan palsu kepada bank RBS Coutte yang kononnya ia merupakan perjanjian antara 1MDB dan Good Star.


Loading...

Perjanjian palsu itu telah menyebabkan dana AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun Good Star yang merupakan syarikat milik Jho Low, katanya.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Shahrol Azral berkata beliau hanya mengetahui perkara itu selepas ditanya oleh pegawai Deutsche Bank (Malaysia) Berhad (DB) yang menguruskan akaun 1MDB, Jacqueline Ho, mengenai butiran akaun bank RBS Coutte yang tidak lengkap bagi pemindahan wang berkenaan.

Terdahulu, saksi itu memberitahu beliau telah mendapat arahan untuk membuat pemindahan wang sebanyak AS$1bilion ke dua akaun yang berbeza daripada peguam PetroSaudi International (PSI) pada 25 Sept 2009.



Tambahnya, arahan yang diterima ialah pemindahan wang sebanyak USD300 juta kepada akaun JVCo (syarikat usahasama 1MDB-PetroSaudi) di J.P Morgan manakala AS$700 juta di RBS Coutts.

“Saya hanya mendapat nombor dan maklumat akaun bank sahaja tanpa nama penerima. Saya tidak curiga apa-apa tentang perkara ini kerana telah pun disemak dan diteliti oleh pihak peguam 1MDB.

loading...
“Berdasarkan arahan pembayaran itu, saya mengarahkan pembayaran dari 1MDB kepada RBS Coutts dalam hari yang sama. Selepas itu, terdapat pertanyaan daripada Deutschebank mengenai Good Star itu dan saya telah bertanya kepada Jho Low. Jho Low memberikan saya butiran akaun Good Star itu,” katanya.

Bagaimanapun, pada 2 Okt 2009, Shahrol Azral mendapati terdapat perbezaan mengenai akaun Good Star iaitu pada saiz dan jenis huruf yang digunakan menyebabkan beliau terus bertanya kepada Jho Low mengenai perkara berkenaan.

“Saya terpaksa bertanya tentang butiran akaun penerima itu kepada Jho Low kerana saya sendiri memang tidak ada pengetahuan tentang perkara berkenaan dan hanya mengikut arahan Jho Low yang saya percaya telah mendapat persetujuan daripada Najib.

"Tambahan pula, perkara penting pada saya ketika itu ialah perkara berkenaan (pemindahan wang) telah diteliti oleh peguam dan tiada apa yang dapat saya persoalkan apabila ia melibatkan undang-undang.

“Sekarang baru saya tahu yang Jho Low menyerahkan kepada RBS Coutts satu Perjanjian Pengurusan Pelaburan antara 1MDB dan Good Star yang ditandatangani oleh salah seorang pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang,” katanya.

Tambahnya, Casey tidak pernah diberi mandat atau diberi arahan olehnya untuk menandatangani sebarang perjanjian dengan Good Star.

“Sepanjang tempoh saya menjadi CEO 1MDB, tiada sebarang urusan perniagaan dilakukan dengan pihak Good Star Limited. Saya juga sahkan bahawa perjanjian ini tidak pernah dibentangkan di dalam mana-mana mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB. Saya juga sahkan bahawa saya tidak pernah terima atau lihat dokumen (perjanjian) ini sebelum ini,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama
Loading...
loading...