Bekas pegawai khas Najib Razak hari ini mendedahkan di
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa banyak serangan berhubung isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) pada penghujung 2014 sehinggakan Pejabat Perdana
Menteri terpaksa mempertahankan Najib kerana percaya ia konspirasi kepada bekas
perdana menteri itu.
Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata pada penghujung 2014
dan awal 2015, adalah tahun yang sukar bagi pejabat perdana menteri dan Najib
sendiri kerana banyak rencana dan dokumen yang dikatakan bukti-bukti mengenai
isu penyelewengan 1MDB telah dikeluarkan.
Loading...
"Pada waktu itu juga terdapat begitu banyak serangan
mengenai isu 1MDB dan kami di pejabat perdana menteri mengambil keputusan untuk
'mempertahan' kerana kami percaya itu adalah konspirasi kepada Najib,"
kata Amhari Efendi ketika pemeriksaan semula oleh bekas hakim Mahkamah
Persekutuan Gopal Sri Ram yang juga timbalan pendakwa raya kanan pada
perbicaraan hari ke-11 kes Najib membabitkan dana 1MDB.
Disoal Sri Ram siapa yang dimaksudkan dengan 'kami'?, saksi
pendakwaan kelapan itu menjawab: “Secara spesifiknya Allahyarham Azlin Alias
(ketika itu bekas ketua setiausaha sulit Najib) dan saya tetapi secara amnya
pegawai senior di pejabat perdana menteri”.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Amhari Efendi berkata
pejabat pengurusan perdana menteri sering diketengahkan mengenai isu 1MDB.
"Sebagai contoh isu pengeluaran dokumen yang mengatakan
duit PetroSaudi adalah duit salah guna wang 1MDB dan isu gaya hidup Jho Low
yang dikatakan mewah dan cerita mengenai 'Wolf of The Wall Street' yang
dikatakan duit itu adalah dari duit 1MDB," katanya yang memaklumkan
perkara itu berlaku antara Januari dan Februari 2015 kerana Azlin meninggal
dunia pada April tahun sama.
Disoal Sri Ram apa yang saksi itu faham mengenai "Duit
1MDB la bro", Amhari Efendi menjelaskan ayat itu dilafazkan oleh Azlin
kepadanya selepas Allahyarham turun dari pejabat Najib.
loading...
"Setahu saya tidak ada isu yang paling hangat
diperkatakan selain daripada duit 1MDB yang diselewengkan...isu mengenai 'Wolf
of The Wall Street' dan isu PetroSaudi merujuk kepada masalah paling hangat dan
sukar pada waktu itu," katanya.
Sri Ram: 'Wolf of The Wall Street' itu merujuk kepada apa?
Saksi itu menjawab: Filem yang dikeluarkan oleh Riza Aziz
iaitu anak tiri Najib.
Amhari Efendi juga menafikan bahawa beliau adalah pemilik
Tycoon Gain Ltd dan Aabar Investment PJS Ltd (BVI).
Sementara itu, saksi utama pihak pendakwaan itu berkata
beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada bekas majikannya itu
untuk membuat laporan polis ketika isu penyelewengan dana 1MDB hangat
diperkatakan sejak 2015.
Sri Ram: Pada bila-bila masa, 2015 hingga 2018, adakah kamu
menerima sebarang arahan daripada tertuduh (Najib) supaya membuat laporan
polis?
Amhari Efendi: Tidak.
Sri Ram: Ada arahan (daripada tertuduh) untuk membuat
laporan kepada SPRM?
Amhari Efendi: Tidak.
Amhari Efendi, yang dipanggil ke mahkamah bagi memberi
keterangan sejak 3 September lepas, hari ini selesai memberi keterangan sebagai
saksi pendakwaan.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua
pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat
sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung petang ini dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral
Ibrahim Halmi akan memberi keterangan.
- Bernama


