Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata
beliau boleh mengesahkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi tidak meminta penceramah Dr Zakir
Naik diekstradisi ketika pertemuan mereka di Rusia baru-baru ini.
Saifuddin dalam satu kenyataan semalam berkata beliau hadir
dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu di Vladivostok pada 5 September.
Loading...
Beliau berkata Dr Mahathir secara ringkas dan jujur
menyatakan perkara yang berlaku semasa pertemuannya dengan Modi.
Dr Mahathir dalam jawapan kepada pertanyaan media tentang
Zakir menegaskan bahawa Modi tiada membuat permintaan untuk Zakir diekstradisi.
“Beliau (Modi) ada menyebut Zakir Naik. Tetapi, beliau tidak
meminta Zakir Naik dihantar ke India,” kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar
selepas melancarkan Rangka Kerja Dasar Luar Negara Baru Malaysia pada Rabu.
Menteri Hal Ehwal Luar India S. Jaishankar bagaimanapun
dilaporkan berkata Modi telah membahas topik ekstradisi Zakir dengan Dr
Mahathir.
“Saya pasti dapat menjamin kebenaran ini kerana saya sendiri
hadir dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu, sedangkan rakan sejawatan
saya Menteri Hal Ehwal Luar India tidak,” kata Saifuddin berikutan komen tidak
ramah yang dibuat oleh beberapa pihak meragui fakta dan kebenaran yang
dituturkan oleh Dr Mahathir.
Saifuddin menggesa pihak berkenaan tidak membuat spekulasi
dan membuat dakwaan yang tidak berasas.
“Malaysia dan India mempunyai hubungan yang kuat dan
komprehensif selama lebih dari enam dekad. Hubungan pelbagai fungsi yang kuat
ini saling menguntungkan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Saifuddin berkata komen-komen itu bukan sahaja sinis dan
mengelirukan tetapi juga jauh daripada kebenaran.
“Komen-komen itu, oleh itu, tidak sepatutnya diucapkan,”
katanya. ― Bernama


