Khazanah ertinya harta atau aset. Khazanah Nasional ertinya
aset negara.
Sebagai ahli parlimen saya minta kerajaan persekutuan
mencari jalan lain untuk membayar hutang negara sekarang.
Jangan cari jalan mudah dengan menjual harta Khazanah
Nasional untuk membayar hutang.
Loading...
PH mengkritik Najib Razak dan BN kerana menyebabkan negara
memikul beban hutang yang besar akibat rasuah dan salah urus negara. Najib dan
BN telah dihukum oleh rakyat kerana itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14
pada 9 Mei 2018 yang lalu.
Jika Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sekarang
menjual harta-harta Khazanah untuk membayar hutang sehingga negara kehilangan
harta, percayalah rakyat yang melihat dan membuka mata akan menghukum kita
dalam PRU akan datang.
Apa yang kerajaan persekutuan pelu buat sekarang untuk
mengelakkan lebih banyak harta Khazanah daripada dijual?
Apakah anggota kabinet yang diketuai perdana menteri sudah
kehabisan idea sehingga terpaksa mengambil jalan menjual harta negara?
Saya mohon perdana menteri dan kabinet sekarang membawa
perkara mustahak ini kepada parlimen yang akan bersidang pada 7 Oktober nanti.
Beri peluang kepada ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah
pihak - kerajaan dan pembangkang - memberikan idea dan buah fikiran untuk
membantu pihak eksekutif menangani isu pembayaran hutang negara yang melebihi
RM1 trilion angkara salah urus kewangan dan ekonomi serta rasuah kuasa kerajaan
BN lalu.
Untuk sementara waktu, hentikan dulu sebarang langkah untuk
menjual lagi harta-harta Khazanah atau syarikat lain milik kerajaan.
HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan
pemimpin PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi
kami.


