Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB hari ini
mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib Razak sengaja
mengeluarkan minit mesyuarat oleh pemegang saham bagi melindungi dirinya
daripada tuduhan penyelewengan 1MDB.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO
Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) ketika membacakan penyataan
saksinya berkata beliau percaya minit mesyuarat berkenaan telah ditandatangani
oleh bekas perdana menteri itu atas nasihat ahli perniagaan dalam buruan, Low
Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low.
Loading...
"Sekarang ini, setelah siasatan ke atas penyelewengan
yang berlaku di dalam 1MDB telah didedahkan, baru saya faham bahawa minit oleh
pemegang saham itu sengaja dikeluarkan oleh Najib pada 16 Sept 2009 untuk
melindunginya daripada apa-apa tuduhan menyeleweng dan seterusnya meletakkan
tanggungjawab tersebut kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah (BOD).
"Ini kerana, dua hari selepas itu telah berlangsung
satu mesyuarat BOD untuk membincangkan mengenai penggunaan dana daripada bon
Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk memasuki satu projek usahasama dengan
PetroSaudi iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh Prince Turki dan Tarek
Obaid," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan
Gopal Sri Ram pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib membabitkan dana 1MDB.
Saksi pendakwaan kesembilan itu turut mengesahkan 'Minutes
By Representative Of Holding Company Relating To Proceedings Of Subsidiary
Company Pursuant To Section 147(6) Of The Companies Act 1965’ yang
ditandatangani oleh Najib selaku pemegang saham melalui MOF Inc.
"Dokumen ini dikeluarkan bagi meluluskan penurunan
kuasa kepada BOD TIA untuk membuat transaksi dalam amaun yang besar sebagaimana
yang diperlukan oleh Seksyen 132C Akta Syarikat 1965 selaras dengan penukaran
hak milik syarikat TIA kepada Kerajaan Persekutuan.
"Walaubagaimanapun, penurunan kuasa ini tidak
merangkumi hal-hal lain sepertimana yang termaktub dalam Artikel 117 M&A
1MDB, contohnya...'affect the guarantee given by the Federal Government of
Malaysia, national interest, national security or any policy of the Federal
Government of Malaysia'.
loading...
"Oleh itu, walaupun dokumen ini ada dikeluarkan, ia
tidak mengurangkan kuasa muktamad Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke
atas 1MDB," jelasnya.
Terdahulu, Shahrol Azral, yang juga saksi penting pihak
pendakwaan turut mengesahkan surat pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah
1MDB yang dikeluarkan oleh Najib pada 17 Sept 2009.
Najib merupakan pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama