Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa
beliau didesak oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali
sebagai Jho Low supaya mendapatkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi
projek Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang juga bekas CEO TIA,
berkata Jho Low mendesaknya berbuat demikian atas alasan Najib Razak dan Tuanku
Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong (ketika itu) memintanya menyegerakan program mengumpul dana kerana pengoperasian
TIA bermula tanpa dana.
Loading...
"Saya dimaklumkan oleh Jho Low di awal lagi terdapat
cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan jaminan kerajaan (GG) terhadap
pinjaman sebanyak RM5 billion yang akan dibuat oleh TIA bagi menambahkan dana
dalam TIA.
"GG ini akan digunakan untuk menjamin pinjaman oleh TIA
yang akan dibuat melalui terbitan bon IMTN melalui institusi bank tempatan.
Program penerbitan bon IMTN yang bernilai RM5 billion selama 30 tahun tersebut
sebenarnya telah bermula sebelum saya menyertai TIA lagi.
"Apabila saya menyertai TIA, saya dimaklumkan oleh Jho
Low bahawa Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada Bakke (Mohd Bakke Salleh)
Azlan (Azlan Zainol) dan Ismee (Ismee Ismail) telah memulakan perbincangan dan
cadangan untuk mendapatkan terbitan bon RM5 billion kepada TIA.
“Program ini diterangkan oleh Jho Low yang bertindak sebagai
Penasihat Pengumpul Dana di peringkat awal namun begitu, konsultan yang
dilantik telah pun membuat pembentangan di hadapan Jawatankuasa Pemandu
TIA," katanya.
"Maka sejak itulah program IMTN telah menjadi satu
agenda penting untuk mendapatkan dana permulaan bagi pengoperasian TIA. Apabila
saya mula menyertai TIA, saya bertindak sebagai pelaksana di atas dasar yang
telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu.
"Saya telah dimaklumkan oleh Jho Low untuk meneruskan
dasar dan pelaksanaan IMTN seperti mana kehendak DYMM Tuanku Mizan dan Kerajaan
Persekutuan. Di atas sebab inilah saya meneruskan program yang dirancang
tersebut," katanya.
Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan kesembilan itu
berkata pada peringkat awal pengoperasian TIA, beliau terpaksa menumpang di
Bilik Mesyuarat pejabat UBG di Twin Tower, KLCC dan Jho Low sebagai pegawai
kanan di UBG hampir setiap hari bertanyakan tentang progres program IMTN.
"Saya beranggapan beliau sebagai penasihat kepada TIA
telah mendapat arahan daripada pihak berkepentingan untuk mempercepatkan
terbitan IMTN ini. Saya tiada pilihan lain dan terpaksa akur dengan kehendak
pihak berkepentingan.
"Latarbelakang saya adalah dalam bidang kejuruteraan,
maka apabila IMTN ini telah dinilai lebih awal oleh Jawatankuasa Pemandu yang
mempunyai latarbelakang kewangan dan korporat, saya rasa yakin dan selesa untuk
meneruskan agenda ini dengan kadar yang segera," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, saksi berkata tindakan pertamanya
adalah dengan melantik AmInvestment Bank Berhad sebagai Pengatur Utama,
Pengurus Utama dan Pelanggan Utama untuk mendapatkan IMTN bernilai RM5 billion.
Katanya, cadangan pelantikan AmInvestment Bank Berhad ini
telah dicadangkan oleh perunding kewangan iaitu Goldman Sachs (M).
"Goldman Sachs telah membentangkan cadangan ini di
pejabat saya. Ketika pembentangan ini dibuat, turut hadir adalah Casey Tang. Casey
Tang pula berurusan dan mendapat pandangan daripada Jho Low sebagai advisor.
"Malahan pada masa itulah saya nampak Casey Tang
mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang mendapatkan dana. Ini
berdasarkan sesi soal jawab dan idea-idea bernas sepanjang berurusan dengan
Goldman Sachs dan konsultan yang lain," katanya.
TIA ditubuhkan pada 27 Feb 2009 dan ditukar nama kepada 1MDB
pada 25 Sept 2009.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung esok.
- Bernama