
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low menunjukkan minat dengan idea penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) sejak ia dicadangkan pada 2008.
Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Amhari Efendi
Nazaruddin, 43, berkata demikian ketika dirujuk Minit Mesyuarat Jemaah Menteri
bertarikh 19 Dis 2008 oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah pada hari
kelapan perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Loading...
Amhari Efendi, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan
berkata beliau mengetahui dari awal lagi pembabitan Jho Low dalam projek TIA
serta penglibatannya dalam membentangkan deraf cadangan projek berkenaan.
Muhammad Shafee turut mencadangkan kepada saksi bahawa idea
penubuhan TIA diilhamkan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang
merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata, beliau mengetahui
bahawa Jho Low terbabit pada peringkat awal (cadangan penubuhan TIA) dan tidak
tahu ia adalah idea Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu, Amhari Efendi berkata, TIA yang kemudiannya
ditukar kepada 1MDB merupakan ‘baby’ Najib.
Ketika disoal Muhammad Shafee apa yang dimaksudkan bahawa
projek TIA itu 'baby' Najib, Amhari Efendi berkata 'baby’ dalam konteks itu
adalah sesuatu yang penting, dilahirkan dan diinspirasikan seperti projek 1MDB.
"Pada waktu itu, dalam konteks Najib akan menjadi
perdana menteri (PM), jadi 'baby' adalah sesuatu perkara yang ingin beliau
lakukan sebelum jadi PM...sesuatu yang sangat rapat dengannya seperti 1MDB atau
dasar...sesuatu yang beliau ingin 'carry' yang 'important' untuknya.
"Ini adalah ‘baby’ dia dan ia sangat penting bagi
dia," kata saksi itu.
Muhammad Shafee: Saya katakan bahawa kamu telah mengetahui
lebih awal TIA bukan 'baby' kepada Najib tetapi ia idea dari Sultan Terengganu
(Sultan Mizan Zainal Abidin)?
Amhari Efendi: Saya tidak bersetuju.
Semasa dirujuk kepada Minit Mesyuarat Jemaah Menteri
bertarikh 12 Dis 2008, Amhari Efendi mengesahkan cadangan penubuhan TIA dengan
dana permulaan sebanyak RM10 bilion adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi
yang mapan dan berterusan bagi negeri itu.
Dalam minit mesyuarat itu turut menyatakan dana RM10 bilion
itu akan diperoleh daripada pengeluaran bon di pasaran kewangan tempatan dan
luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan jaminan
sebanyak RM5 bilion bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak
masa depan Terengganu.
Saksi itu turut mengesahkan minit mesyuarat itu juga
menyatakan penubuhan TIA adalah satu cadangan yang baik bertujuan memastikan
pendapatan negeri Terengganu mencukupi untuk menjana pembangunan generasi akan
datang bagi menghadapi keadaan di mana satu hari kelak negeri itu akan
kehabisan sumber minyak dan gas.
Dalam pada itu, Amhari Efendi mengesahkan bahawa beliau
menghadiri Mesyuarat TIA sebagai sekretariat pada 5 Mac 2009.
Namun, Amhari Efendi berkata beliau tidak dapat mengingati
sama ada minit mesyuarat itu dicatit olehnya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama

