Ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon hari ini mengaku bersalah
di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam
perlakuan salah oleh Tengku Adnan Tengku Mansor yang menerima untuk dirinya
wang tunai RM1 juta, pada 2013.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan jam 2.15 petang
ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Tan, 70.
Loading...
Tan didakwa atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam
perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri
Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada
Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang
didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan
sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku
Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad,
Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis
2013.
Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca
bersama Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua
tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tan yang diwakili peguam Faisal Moideen membuat pengakuan
bersalah atas pertuduhan pilihan itu semasa pengurusan kesnya har ini
Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang mengendalikan
pendakwaan memberitahu pemberita bahawa Tan membuat pengakuan itu selepas satu
persetujuan mengenai pelupusan kes antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui
proses rundingan akuan.
Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan dua hari
bermula 19 Sept ini bagi perbicaraan kes rasuah Tan, dan Tengku Adnan, 69.
Kedua-dua kes itu (Tan dan Tengku Adnan akan dibicarakan bersama).
Pada 15 Nov 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu
pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan
permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan
Semarak, di sini pada 2013.
Pada 15 Nov 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju
hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan
suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui
cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah
didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.
Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku
Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang
dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot
berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad,
Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis
2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum
20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan
kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000,
mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - Bernama


