Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh bekas
CEO 1MDB bahawa beliau menerima bonus 18 bulan gaji pada tahun 2012, semasa
menerima gaji RM80,000 sebulan.
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau juga
menerima bayaran sebagai anggota lembaga pengarah, elaun yang sama seperti
lain-lain anggota lembaga, yang berjumlah RM179,000 setahun dan RM1,500 setiap
mesyuarat.
Loading...
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa
menjawab soalan tambahan daripada timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram
pada hari ke-16 perbicaraan berkaitan 1MDB yang melibatkan bekas perdana
menteri Najib Razak.
Sri Ram: Adakah yang dituduh menyuarakan sebarang rasa puas
hati dengan kerja-kerja anda?
Shahrol Azral: Oh ya.
Sri Ram: Boleh berikan contoh insiden di mana dia
menyuarakannya?
Shahrol Azral: Pada 2011 atau 2012, saya terima panggilan di
pejabat saya daripada setiausaha sulit perdana menteri ketika itu, yang memberitahu
perdana menteri hendak bercakap.
"Ketika itu Najib ingin tahu mengenai status
projek-projek tanggungjawab sosial korporat yang sedang kami laksanakan untuk
Yayasan 1MDB.
loading...
"Saya sangat teruja dan saya ingat lagi semasa
perbualan itu saya dengan sopan memotong cakap Najib beberapa kali semasa dia
bertanyakan soalan, kerana saya tahu apa yang ditanya, saya ada jawapannya dan
saya sangat gembira bercakap secara terus dengannya,” katanya.
Sri Ram: Kenapa anda gembira?
Shahrol Azral: Dia perdana menteri, bukan selalu anda dapat
peluang untuk bercakap dengan perdana menteri.
"Beberapa hari kemudian, Jho Low beritahu saya dia (Jho
Low) bercakap dengan Najib yang memberitahu berkenaan perbualan itu, dan dia
(Jho Low) beritahu saya 'bos sangat gembira, dan nampak Shahrol mengawal
semuanya dengan baik'."
Semasa ditanya sama ada beliau mendapat sebarang ganjaran
berbentuk wang kemudiannya, saksi itu berkata beliau mendapat bonus bagi tahun
2012.
Sri Ram: Bonus berapa bulan?
Shahrol Azral: Bonus 18 bulan. Ketika itu gaji saya sekitar
RM80,000.
Saksi itu turut berkata beliau menerima RM80,000 sebulan
semasa beliau mula bertugas dengan Terengganu Investment Authority Berhad,
sebelum ia bertukar kepada 1MDB.
"Di 1MDB, saya terima kenaikan gaji setiap tahun. Gaji
terakhir saya adalah RM99,000 sebulan," katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Anggota parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung Isnin.
-Bernama


