Foto The Star
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa
ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan agar
pemilikan ekuiti PetroSaudi Oil Service Limited (PSOSL) yang dimiliki oleh 1MDB
International Holdings Limited dilupuskan dengan cara menjual 100 peratus syer
kepada Bridge Partners International Investment Limited.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad
(1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan
saksinya berkata peguam 1MDB, Jasmine Loo turut mencadangkan perkara sama untuk
mengelak persepsi negatif kerajaan Amerika Syarikat terhadap Malaysia
disebabkan pemilikan ekuiti PSOSL yang berada di negara berkenaan.
Loading...
Shahrol Azral, yang memberi keterangan pada hari ke-16
perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana
1MDB, berkata sekitar akhir Julai 2012, Jho Low memberitahunya bahawa Amerika
Syarikat telah mengenakan sekatan ke atas Venezuela.
Menurut Shahrol Azral, Bridge Partners International
Investment Limited dicadangkan oleh pengarah syarikat Brazen Sky Limited,
Terence Geh serta Jasmine Loo dan beliau (Shahrol Azral) menerima cadangan
mereka dengan niat baik (good faith), kerana cadangan itu juga adalah konsisten
dengan ‘Action Plans’ yang dihantar oleh Jho Low melalui emel kepadanya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai Brazen Sky Limited,
Shahrol Azral berkata syarikat itu adalah sebuah syarikat Special Purpose
Vehicle (SPV) yang ditubuhkan 12 Julai 2012 di British Virgin Islands (BVI)
sebagai transit untuk membawa pulang dana pelaburan PSOSL yang beroperasi di
Venezuela.
“Maka saya menerima cadangan itu dengan anggapan semua
butiran ini sudah dipersetujui oleh Datuk Seri Najib. Seterusnya, Jho Low dan
Jasmine Loo juga mencadangkan agar hasil jualan ekuiti PSOSL itu dilaburkan
pula di dalam ‘hedge fund’ di Bridge Global Absolute Return Fund SPC yang
beroperasi di Cayman Island.
loading...
“Saya pada mulanya agak keberatan dengan idea itu kerana
tujuan awalnya adalah untuk membawa pulang ke Malaysia wang yang asalnya
daripada pelaburan dengan JV PetroSaudi pada 2009.
“Tetapi apabila saya diberikan ‘action plans’ dari Jho Low
yang menyatakan bagaimana wang pelaburan ini akan dibawa pulang secara
berjadual, kerana perlu menunggu waktu terbaik untuk tebusan kepada wang tunai
bagi mengelakkan kerugian, maka saya bersetuju untuk membawa perkara ini di
dalam persetujuan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB,” katanya.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau telah membawa
perkara itu dalam mesyuarat BOD 1MDB untuk mendapatkan persetujuan.
“Pada 2 Ogos 2012, BOD 1MDB telah mengeluarkan resolusi
meluluskan penjualan ekuiti 1MDB International Holdings Limited dengan nilai
tidak kurang US$2,222,630.00 kepada Bridge Partners International Investment
Limited.
“Selain itu, BOD juga bersetuju supaya hasil penjualan
ekuiti itu dilaburkan di dalam mana-mana pelaburan yang diuruskan oleh Fund
Manager yang berlesen.
Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa Najib telah memberi
kelulusan kepada anak syarikat 1MDB untuk memiliki 49 peratus ‘issued share
capital’ dalam PetroSaudi Oil Service Limited (PSOSL) dengan nilai
US$2,222,630,000 bilion.
Shahrol Azral, ketika membacakan penyataan saksinya berkata
Najib telah menandatangani ‘Shareolder's Resolution’ untuk memberi kelulusan
kepada anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB International Holdings Limited (BVI).
“Saya camkan tandatangan pada dokumen ini adalah tandatangan
Datuk Seri Najib,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya
Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib
membabitkan dana 1MDB.
Shahrol Azral berkata, berdasarkan 1MDB Directors’ Circular
Resolution (DCR) bertarikh 20 Jun 2012 itu menyatakan bahawa beliau telah
diberi kuasa untuk membuat rundingan berkenaan pembelian share capital,
melaksanakan dokumentasi dan sebagainya bagi pihak 1MDB BVI.
“Salah seorang ahli pengurusan kanan telah menghantar DCR
ini ke pejabat saya untuk ditandatangani. Saya merujuk kepada muka surat dua
pada DCR itu, saya sahkan saya telah menandatangani DCR berkenaan.
"Semasa DCR ini diterima ‘Shareholders Resolution and
Minutes by Representative’ yang telah ditandatangani oleh Datuk Seri Najib
disertakan bersama DCR itu,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.
Menurut Shahrol Azral, kedua-dua dokumen itu menjadi rujukan
utama untuk beliau membuat keputusan sebelum menurunkan tandatangan pada DCR
itu.
“Namun kesemua dokumen itu tidak bertarikh pada ketika itu,”
katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013 di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung Isnin ini.
- Bernama


