Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda,
Tan Sri Mohd Isa Samad tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel
& Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dalam Mesyuarat
Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda.
Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62,
mengesahkan perkara itu kerana beliau yang merupakan bekas ALP Felda juga hadir
pada mesyuarat tersebut.
Loading...
"Tan Sri Isa merupakan Pengerusi Felda dan beliau juga
mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda. Beliau (Isa Samad)
terlibat dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut," katanya ketika
menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari
ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Afzainizam: Adakah Pengerusi Felda (Isa) boleh tentukan sama
ada kertas kerja (cadangan) boleh dibentangkan dalam mesyuarat (ALP Felda) atau
tidak?
Hanapi: Boleh
Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi Felda
(Isa) tidak membenarkan kertas kerja dibentangkan di mesyuarat?
Hanapi: Bergantung kepada kertas kerja, kalau saya rasa
perlu, saya akan bagi pandangan dan akhirnya Pengerusi Felda yang akan buat
keputusan, saya akan akur.
loading...
Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan Afzainizam
bahawa mandat pelaburan RM100 juta yang diputuskan oleh Felda tidak pernah
ditarik balik atau dimansuhkan.
Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi itu
mengesahkan bahawa kelulusan pembelian hotel berkenaan oleh anak syarikat Felda
iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta hanya
dibuat secara tersirat dan tiada keputusan secara bertulis di peringkat ALP
Felda.
“Kertas kerja mengenai pembelian hotel itu mesti dibentangkan
di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya apabila disoal
Afzainizam berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi mandat pelaburan
RM100 juta.
Terdahulu, semasa disoal balas peguam Datuk Sallehudin
Saidin, mewakili Mohd Isa, saksi itu bersetuju bahawa Prosedur Operasi Standard
(SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.
Sallehudin: Jadi sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah FICSB
membuat keputusan mengikut cara tersendiri?
Hanapi: Ya.
Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi
mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 328
bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.
"Minit ini dicatat oleh Setiausaha Lembaga Felda, Erwan
Aman dan tandantangani oleh Tan Sri Isa. Saya cam tandatangan Tan Sri Isa pada
muka surat akhir minit ini.
"Dalam mesyuarat itu membincangkan tentang bayaran
pendahuluan berjumlah RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek hotel
berkenaan serta cadangan kaedah bayaran kembali pendahuluan ini," katanya.
Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan
sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa
dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014
dan 11 Dis 2015.
Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung petang ini.
- Bernama


