Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. akan memberhentikan operasi
perniagaannya berkuat kuasa esok, menurut memorandum pekeliling yang
dikeluarkan syarikat itu kepada kakitangan hari ini.
Memorandum yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif,
Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir itu turut menjelaskan tarikh akhir bekerja
kakitangan telah ditetapkan pada hari ini manakala tarikh akhir perkhidmatan
ialah pada hari Khamis, 31 Oktober 2019.
Loading...
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan
Melayu (M) Bhd. telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula
beroperasi 80 tahun yang lalu. Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei
2018.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk
meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin, antara
langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang
menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. Ini merupakan
pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan
syarikat.
“Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset
syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang
mencukupi namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin
menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan
aliran tunai Utusan semakin tenat,” kata Abd. Aziz.
Menurut Aziz, bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar
mengikut masa malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak
dan syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada
pemiutang-pemiutang.
loading...
“Langkah ini terpaksa diambil kerana Lembaga Pengarah
berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” katanya
menerusi memorandum pekeliling itu lagi.
Sementara itu, satu taklimat kepada semua kakitangan
daripada pihak pelikuidasi akan diadakan pada pukul 3 petang 30 Oktober di
Dewan Besar Utusan dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan ketika sesi
taklimat berkenaan berlangsung. - Utusan Online


