Guru, pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GPC) dan
anggota majlis kerajaan tempatan adalah antara lima individu yang ditangkap
polis dalam operasi terbaru ke atas pihak yang terbabit dengan kumpulan
Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) semalam.
Menurut Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit
Aman lima suspek terbabit ditahan kerana disyaki mempromosi dan menghasut agar
orang awam menyokong kumpulan yang disenaraikan sebagai pengganas itu.
Loading...
Ketua Penolong Pengarah E8, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata
mereka memiliki barangan yang berkaitan LTTE, serta menolong membiayai kegiatan
kumpulan terbabit.
Katanya, guru sekolah menengah terbabit berusia 52 tahun dan
menyokong LTTE melalui media sosial. Suspek terbabit - yang ditahan di Banting,
Selangor - juga memiliki bahan yang berkaitan dengan LTTE.
Suspek lain ialah seorang anggota Majlis Bandar Raya Melaka
- berusia 43 tahun - dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau
Melaka, berusia 38 tahun.
Kata Ayob Khan, mereka ditahan kerana terbabit menganjurkan
Hari Perwira LTTE Melaka.
"Kedua-dua mereka ditahan di Durian Tunggal,"
katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
loading...
Dua lagi suspek yang ditahan ialah pekerja kilang - berusia
26 tahun - dan penyelia keselamatan - berusia 29 tahun - yang ditahan di Bukit
Mertajam, Seberang Prai Tengah.
Pada masa sama, Ayob berkata, polis sedang memantau aktiviti
Seeman Senthamilan iaitu ketua penyelaras parti yang berpangkalan di India,
Naam Tamilar, yang menyokong LTTE.
Katanya polis juga mungkin melarang kemasukan pemimpin Tamil
Nadu itu memasuki Malaysia. - Malaysiakini


