Tidak semua kacang lupakan kulit. Itulah gambaran sebenar
mengenai legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang menyalurkan dana RM2
juta kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN),
menerusi Yayasan Lee Chong Wei.
Atas rasa kecintaan terhadap sukan yang menjadi darah
dagingnya sejak 19 tahun lepas, Chong Wei menyumbang RM1.4 juta kepada BAM
untuk pembangunan sukan badminton yang ditinggalkannya tanggal 13 Sept atas
sebab kesihatan.
Loading...
Sementara untuk MSN iaitu organisasi yang banyak membantu
sepanjang kariernya, disalurkan RM600,000
untuk tujuan persediaan atlet bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik
Tokyo 2020.
“Beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah impian saya tapi
saya terpaksa bersara atas sebab kesihatan. Jadi saya harap dengan dana ini,
dapat membantu persediaan atlet apa yang patut untuk mereka melayakkan diri ke
temasya itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kemuncak Bulan
Sukan Negara di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Beliau berkata yayasan itu juga sedang meneliti cadangan
untuk menaja mana-mana atlet yang berpotensi bagi meneruskan karier mereka
dalam bidang sukan selain mereka yang sukar mendapat tajaan daripada sektor
swasta.
Mengulas mengenai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020
yang berbaki lagi sembilan bulan itu, Chong Wei yang juga ketua kontinjen
negara menasihati atlet agar menghindarkan diri daripada dilanda kecederaan
dalam usaha mereka memburu slot ke temasya lima tahun sekali itu.
loading...
“Saya sendiri tidak berjaya menyumbang pingat emas buat
negara namun saya harap atlet yang akan saya bawa ke Tokyo boleh berbuat
demikian. Tapi apa yang penting sekarang, kita jangan beri tekanan kepada atlet
dulu.
“Sukan Olimpik adalah temasya terbesar dunia dan sudah pasti
cabaran memang sukar. Atlet perlu kuatkan mental mereka. Apa yang saya harapkan
sekarang ialah semua atlet sihat, tidak mengalami kecederaan dan teruskan
memburu kelayakan,” katanya.
Mengenai beberapa sukan yang masih belum mendapat slot ke
Tokyo termasuk badminton, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata semua
atlet melalui tempoh yang sukar khususnya tahun ini kerana cabaran juga tidak
kurang sengit daripada atlet negara lain yang mempunyai tujuan sama.
Malah, katanya, tidak adil untuk menetapkan sasaran pingat
kepada atlet tertentu buat masa ini kerana kesemua mereka masih dalam
perjuangan mencari tempat dan bagi yang sudah mendapat tiket secara merit,
atlet berkenaan sedang menjalani latihan rapi untuk tujuan itu.
“Apa yang penting sekarang ialah, kita mahu lebih ramai
atlet negara layak ke Sukan Olimpik. Medal
semua atlet boleh sumbang medal. Menerusi terjun, Azizul dalam sukan
basikal dan memanah serta Farah Ann yang baru sahaja layak.
“Untuk badminton pula, selepas 31 April 2020 baru kita tahu
siapa yang mendapat slot ke Sukan Olimpik. Untuk kita target medal ke atas Lee
Zii Jia juga tidak tentu lagi kerana keputusan dia juga belum stabil. Apa pun,
masih ada ramai lagi yang sedang mencari slot seperti hoki, memanah dan kita
harap lebih ramai atlet akan layak,” katanya yang akan memulakan tugas rasmi
sebagai CDM, Januari tahun depan.
Untuk rekod, setakat ini lapan atlet negara layak secara
merit ke Sukan Olimpik 2020. Mereka adalah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur
Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (terjun); Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur
Shazrin Mohd Latif (pelayaran); Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Farah Ann
Abdul Hadi (gimnastik). — Bernama


