Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan
Melayu Mohd Taufek Razak menggesa Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar
pampasan dan gaji pekerja tertunggak susulan menamatkan perkhidmatan semua
pekerjanya berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.
Beliau berkata keputusan Utusan Melayu yang menerbitkan
akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! memberhentikan operasi berkuat kuasa semalam
menyebabkan kebanyakan pekerjanya mengalami kesempitan hidup.
Loading...
“Kami mahu pihak syarikat bukan sahaja membayar pampasan
kepada semua pekerja tetapi juga membayar faedah perkhidmatan lain seperti
tuntutan perjalanan dan perubatan termasuklah bayaran ganjaran gratuiti, yang
tidak dibayar sejak tahun lepas.
“Kami juga mahu syarikat membayar gaji pekerja yang
tertunggak selama dua bulan iaitu September dan Oktober. Itu adalah harapan
besar kami, apatah lagi dengan keadaan kami yang tiada kerja, apa yang jadi
harapan kami adalah duit sebab nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi
Bernama, di Kuala Lumpur hari ini.
Utusan Melayu menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya pada
31 Okt ini berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.
Menerusi satu memorandum pekeliling yang dikeluarkan akhbar
berkenaan, tarikh akhir bekerja bagi kakitangan syarikat itu adalah semalam.
loading...
Lembaga pengarah Utusan Melayu pada 7 Okt telah meluluskan
cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan
UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.
Mengulas lanjut, Mohd Taufek berkata satu taklimat kepada
semua kakitangan daripada pihak pelikuidasi dijadual diadakan pada 30 Okt.
“Jadi, buat masa ini, kami semua sedang dalam tempoh
bertenang selain menunggu apakah keputusan akhir yang akan dibuat oleh pengurusan
lama pada 30 Okt ini,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Taufek meletakkan harapan tinggi agar
akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo dapat diterbitkan semula selain berharap
pengurusan baharu, Aurora Mulia Sdn Bhd dapat mengekalkan kesemua 862 kakitangan
syarikat itu.
"Ada ura-ura mengenai pengurusan akan membuat proses
pembuangan kerja tapi kami harap di bawah pengurusan baharu, mereka dapat terus
terbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo selain mengekalkan kesemua pekerja,"
katanya.
- Bernama


