Empat tokoh terkenal di peringkat antarabangsa termasuk
Pengerusi dan Ketua Eksekutif LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard
Arnault telah dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau
Jho Low untuk menganggotai Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol
Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa selain Arnault,
tokoh lain yang dinamakan Jho Low ialah Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani (Perdana
Menteri Qatar ketika itu), Pengerusi CITIC Group of China Chang Zhenming, dan
CEO Mubadala Khaldoon Al Mubarak.
Loading...
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa
pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan
dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Semua nama ini dicadangkan oleh Jho Low?
Shahrol Azral: Ya.
Muhammad Shafee: Semua empat nama penasihat antarabangsa
dalam BOA. Tidak ada seorang pun daripada mereka menghadiri mesyuarat?
Shahrol Azral: Ya.
loading...
Saksi itu menjelaskan bahawa agak sukar untuk mendapatkan
mereka semua bertemu di satu tempat.
Shahrol Azral, 49, berkata surat perlantikan kepada BOA
telah dihantar kepada tokoh-tokoh ini termasuk Arnault yang beliau sendiri
temui di Paris untuk menyampaikan surat pelantikan.
Beliau berkata Arnault secara lisan menerima pelantikannya
manakala Chang menjawab dengan surat penerimaan.
Semasa Muhammad Shafee bertanya mengenai rasionalnya di
sebalik pelantikan tokoh-tokoh tersebut seperti Arnault, yang terkenal dalam
perniagaan fesyen, Shahrol Azral berkata beliau merupakan antara ahli
perniagaan terbaik dunia ketika itu.
"Bernard Arnault merupakan antara ahli perniagaan utama
dunia. Saya rasa itu cukup untuk menjadi alasan. Saya ingat beliau antara lima
orang terkaya," katanya.
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB
dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence
Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim
Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.
- Bernama


