Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia adalah
jawapan terbaik terhadap kritikan bahawa kerajaan tidak menguruskan ekonomi
negara dengan baik atau telah meningkatkan hutang kerajaan secara berlebihan,
kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim berkata pembaharuan institusi telah membantu Malaysia
meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Menjalankan Perniagaan 2020 terbitan
Bank Dunia ke kedudukan ke-12 bagi 2020, daripada tempat ke-15 pada 2019.
Loading...
Malaysia juga adalah antara negara yang mencatatkan kenaikan
terbesar dalam Indeks Tadbir Urus Sedunia (WGI) 2018 yang diterbitkan awal
bulan ini, yang mana merupakan perkembangan positif bagi penarafan kredit
berdaulat Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Indeks Menjalankan Perniagaan Bank Dunia mengukur
keberkesanan peraturan perniagaan serta pelaksanaannya di 190 negara.
Markah Malaysia dalam Indeks Menjalankan Perniagaan 2020
meningkat 0.2 mata dan membolehkan negara menaiki 3 anak tangga ke kedudukan
ke-12 bagi 2020 daripada tempat ke-15 bagi 2019.
Ini adalah kedudukan Malaysia yang terbaik sejak 2015.
loading...
Lim berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh
penambahbaikan yang dibuat dari sudut memulakan perniagaan dan mendapatkan
permit pembinaan.
Malaysia juga menduduki tempat ke-4 di Asia selepas
Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan sebagai negara paling mudah untuk
menjalankan perniagaan yang mana ia merupakan peningkatan daripada tahun
sebelumnya di mana Malaysia menduduki tangga ke-5.
Selain itu, Malaysia juga merupakan antara negara yang
mencatatkan kenaikan terbesar dalam WGI terbaru bagi 2018, hasil daripada
pembaharuan institusi meluas yang dilaksanakan oleh kerajaan.
WGI mengukur kualiti institusi di 214 negara dengan
mengambil kira enam dimensi iaitu akauntabiliti, kestabilan politik,
keberkesanan kerajaan, kualiti peraturan, kedaulatan undang-undang dan rasuah.
Markah Malaysia dalam lima daripada enam dimensi tersebut
telah menunjukkan peningkatan.
Lim berkata, prestasi positif dalam kedua-dua indeks itu
akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan penarafan kredit berdaulat
Malaysia tinggi pada paras A3 atau A-.
Di dalam negara, ekonomi terus menunjukkan daya tahan yang
tinggi dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Ogos 2019 meningkat 1.9
peratus tahun-ke-tahun, lebih tinggi daripada peningkatan 1.2 peratus pada
Julai.
Ini disumbang oleh pengembangan sektor pembuatan yang mampan
serta pemulihan output bagi sektor perlombongan. Kadar inflasi bagi September
2019 berada pada paras 1.1 peratus.
Inflasi yang rendah dan stabil adalah kondusif bagi
pengembangan penggunaan swasta.
Nilai jualan perdagangan borong dan runcit naik 5.8 peratus
tahun-ke-tahun pada Ogos 2019, iaitu lebih tinggi daripada kenaikan 5.7 peratus
pada Julai.
Kadar pengangguran bagi Ogos 2019 pula adalah rendah dan
stabil pada 3.3 peratus.
Lim berkata kerajaan komited melaksanakan pembaharuan
institusi, sambil membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan
selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Hasil pelaksanaan pembaharuan institusi dan pertumbuhan
ekonomi mampan akan terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia yang
tinggi.
-Bernama


