Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata
tidak ada keperluan untuk terus menahan 12 individu yang disyaki mempunyai
hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di bawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Beliau berkata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter
Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan
kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Loading...
"Memandangkan perkara ini, tidak ada keperluan untuk
tahanan dilanjutkan walaupun mereka ditahan reman selama 28 hari di bawah
Sosma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sekiranya Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa mereka,
Ramkarpal juga menyarankan supaya mereka dibenarkan diikat jamin.
"Tidak syak lagi, mereka boleh didakwa bagi suatu
kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang dibaca dengan Sosma di mana jaminan
boleh ditolak.
"Saya, bagaimanapun, menggesa Peguam Negara mendakwa
mereka mengikut Kanun Prosedur Jenayah dan menawarkan ikat jamin jika dia
berpendapat terdapat bukti yang mencukupi terhadap mereka kerana menolak untuk
ikat jamin tiada gunanya kerana mereka hanya disyaki melakukan suatu kesalahan
pada peringkat ini.
loading...
"Tambahan pula, dua daripada tahanan adalah wakil
rakyat dan menafikan mereka diikat jamin sementara menunggu perbicaraan akan
menyebabkan mereka tidak dapat berkhidmat kepada pengundi mereka,"
katanya.
Ramkarpal, yang juga seorang peguam mengulangi gesaan supaya
Sosma dimansuhkan.
Antara mereka yang ditahan di bawah Sosma termasuk bekas dan
ahli-ahli DAP, PKR dan PAS. Ia termasuk Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran dan
Adun Gadek, G Saminathan.
LTTE yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka untuk
memerdekan wilayah majoriti etnik Tamil ditewaskan oleh pihak berkuasa negara
itu pada tahun 2009.
Perjuangan LTTE menerima simpati daripada masyarakat Tamil
di seluruh dunia tetapi kumpulan itu dianggap oleh Malaysia dan beberapa negara
lain sebagai organisasi pengganas. - Malaysiakini


