Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay - Foto Malay Mail
Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan
ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau
Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8)
Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis mempunyai
28 hari untuk menjalankan siasatan terhadap tujuh individu, termasuk dua Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan semalam.
Loading...
“Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan
ditahan bagi membantu proses siasatan jika ada bukti yang mencukupi,” katanya
pada sidang akhbar Perhimpunan Bulanan peringkat Bukit Aman, di Kuala Lumpur
hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak berhenti
membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan persepsi
masyarakat.
Beliau berkata bagaimanapun mana-mana individu atau pihak
tiada halangan untuk memberi pandangan peribadi, tetapi adalah menjadi
kesalahan jika memberi sokongan, mempromosi atau mengumpul dana berkaitan
kumpulan pengganas LTTE.
“...tindakan sedemikian boleh diambil tindakan jika dikesan
di media sosial atau mana-mana platform,” katanya.
loading...
Mengulas mengenai tujuan mengaktifkan LTTE di negara ini,
Ayob Khan berkata: “Daripada segi apa yang kami lihat, gambar-gambar yang
dipamerkan itu adalah gambar LTTE, ini bukan isu perjuangan hak kaum Tamil di
Sri Lanka dan sebagainya, ia adalah berjuang dan mempromosi kumpulan
pengganas”.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa mengikut undang-undang
negara ini, LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas sejak 2014. Selain Malaysia,
LTTE turut disenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat, India dan Sri
Lanka.
Semalam, tujuh individu termasuk dua ADUN ditahan dalam
operasi polis Bukit Aman disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki
bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.
Kesemua mereka ditahan dalam operasi di sekitar Selangor,
Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.
- Bernama


