Bekas menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor diarah membela diri atas dakwaan menerima suapan RM2 juta
daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan
itu hari ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie
terhadap kes Tengku Adnan.
Loading...
Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat
awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang
berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai
Kin Kong, 60 tahun, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah
didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB).
Mahkamah turut menolak hujah pendakwaan selepas pihak
pendakwaan gagal membuktikan wang terbabit dimasukkan ke akaun UMNO bagi tujuan
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa RM2 juta untuk
kegunaan UMNO. Namun, cek yang diterima tertuduh tidak boleh mengalihkan
perhatian saya.
“Kerana, ia diterima tertuduh sebagai penjawat awam, dan
kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan masa itu,” kata Mohamed Zaini
ketika membaca penghakimannya.
loading...
Tengku Adnan, 68 tahun, mempunyai kepentingan dalam THSB
sementara syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad,
Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang
membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,
jika sabit kesalahan.
Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan, mengekalkan pengakuan tidak
bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini, selepas kesnya dipindahkan dari
Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.
Perbicaraan selama 12 hari bermula pada 2 Julai dengan 23
saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur,
Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.
Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan manakala
pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim. - Astro Awani


