Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu bersedia
berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti itu susulan kenyataannya bersedia
membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu).
Menurutnya, beliau yakin dirinya tidak bersalah kerana
kerana hanya bercakap mewakili rakyat.
Loading...
“Dengan berbuat demikian saya dapat mengekalkan nilai-nilai
demokrasi yang kita amalkan di DAP. Sama ada di hadapan jawatankuasa disiplin
parti atau sebaliknya, saya akan terus mempertahankan hak kebebasan bersuara,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan pandangannya itu tidak mewakili
kedudukannya dalam DAP.
“Semua ulasan dan pendapat yang saya luahkan dibuat dengan
tulus hati dan ia tidak mewakili pandangan parti. Oleh itu, tidak ada niat
untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PH dan pastinya bukan
dalam parti yang telah saya berkhidmat selama bertahun-tahun.
“Banyak perkara yang saya bangkitkan juga adalah berdasarkan
apa yang dinyatakan oleh masyarakat awam melalui media sosial,” katanya.
loading...
Dalam pada itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Sungai
Pelek turut mempertikaikan kenapa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Mohamed Azmin Ali tidak dikenakan tindakan selepas beliau secara terbuka
menentang perjanjian PH mengenai penyerahan jawatan perdana menteri kepada
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apa pun keputusannya, saya akan tetap berpegang pada niat
baik dan sebagai wakil rakyat melihat rakyat sebagai ketua saya,” katanya.
Ronnie turut mendakwa, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad mahu mengikut model pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai
sebuah parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.
Beliau tidak boleh membenarkan PH tidak menunaikan janji
yang dibuat terutama dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Rakyat tidak berpuas hati dengan Dr Mahathir apabila
senarai janji PH tidak dipenuhi seperti janji berkaitan Lynas, Sijil
Peperiksaan Bersepadu (UEC), penghapusan tol, pinjaman PTPTN, royalti minyak
untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, Dr Mahathir tidak boleh bertindak secara sepihak
terutama berkait isu yang memberi kesan ke atas keyakinan rakyat terhadap PH.
“Sebagai contoh, India telah mengambil keputusan untuk
memboikot minyak kelapa sawit negara. Ini akan membantutkan ekonomi negara
terutamanya jika China juga bertindak sama susulan kenyataan Dr Mahathir
mengenai ketua eksekutif Hong Kong, Carrie Lam,” katanya.
Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata,
Ronnie akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataannya
sebelum ini.
Loke berkata, tindakan Ronnie merupakan satu tindakan
sabotaj yang serius dengan tujuan menjejaskan kestabilan dan memecahkan
perpaduan dalam Kerajaan PH.
Selasa lalu, beliau membidas prestasi Dr Mahathir dan
berkata, sekiranya Pengerusi Bersatu itu cuba memecahkan PH, parti DAP, PKR,
Parti Amanah Negara (Amanah), Warisan dan Upko masih boleh bergabung dan
membentuk kerajaan baru tanpa PPBM. - Sinar Harian


