Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan merampas komik didakwa
berunsur propaganda yang diedarkan ke sekolah.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rampasan akan
dilakukan susulan pihaknya telah mewartakan perintah larangan terhadap komik
“Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” termasuk versi bahasa
Inggeris dan bahasa Cina.
Loading...
“Kalau masih dalam edaran di pasaran maka kita akan ambil
tindakan untuk rampas sebab keputusan sudah dibuat. Perkara ini agak serius,
sebab itu saya kena ambil tindakan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di
lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan susulan yang akan
dilakukan selepas pihaknya mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut
semalam.
Menurut Muhyiddin, langkah itu diambil selepas pihaknya
meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan
ideologi komunisme dan sosialisme.
“Memang ada asas kukuh, bukan kerana apa-apa sentimen atau
tindakan terhadap mana-mana pihak. Ia berdasarkan ‘content’ (kandungan), apa
lagi ia telah diedarkan dalam negara di sekolah-sekolah,” tegasnya.
loading...
Ditanya sekiranya komik itu masih diedarkan di sekolah,
Muhyiddin menyerahkan kuasa kepada Kementerian Pendidikan untuk bertindak
merampas komik itu.
“Saya difahamkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan
ambil tindakan. Terserah kepada kebijaksanaan pihak sekolah,” kata Muhyiddin.
Pada masa sama, beliau menasihatkan agar rakyat negara ini
tidak membaca komik berkenaan yang menyebarkan fakta yang salah dan
mengelirukan tentang komunis selain mengandungi unsur untuk membangkitkan
sokongan serta simpati terhadap perjuangan fahaman itu.
- Bernama


