Wartawan veteran, A Kadir Jasin mencadangkan taikun
Indonesia, Peter Sondakh diminta membeli semula saham sebuah syarikat di negara
jiran yang dijual kepada Felda untuk mendapatkan kembali wang milik agensi
kerajaan itu.
Beliau turut menyarankan pihak berkuasa menyasarkan aset dan
kepentingan Sondakh yang merupakan kawan baik bekas perdana menteri, Najib
Razak, di Malaysia dalam usaha mendapatkan kembali wang Felda.
Loading...
“Dia ada banyak harta di Malaysia, termasuk beberapa buah
hotel mewah di Kuala Lumpur dan Langkawi yang dibeli atau dibina dengan
pinjaman mudah daripada bank-bank tempatan, khususnya Bank Pembangunan dan
perkongsian dengan Khazanah Nasional Berhad,” tulisnya di blognya pada Ahad.
Kadir yang juga penasihat media Perdana Menteri, Dr Mahathir
Mohamad berkata, Sondakh berjanji membeli semula 37% saham PT Eagle High
Plantations Tbk (EHP) yang dijual kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad
(FGV) pada 2015 melalui proses “put option”.
Katanya, “put option” itu berkuat kuasa jika EHP gagal
memenuhi syarat dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO)
bagi semua ladangnya.
“Setakat ini, menurut laporan media, dia hanya berjaya
mendapatkan sijil RSPO untuk sebuah ladang saja.”
loading...
Beliau berkata, siasatan forensik bebas yang diarahkan
pengurusan baru Felda selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu mendapati
beberapa pemimpin kanan Umno dalam kerajaan terdahulu terbabit dalam salah
pengurusan agensi itu.
April lalu, Najib mempertahankan pelaburan Felda dalam EHP
dan menggesa kerajaan PH mendedahkan perjanjian yang dimeterai dua syarikat
perladangan itu.
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap laporan polis
Felda yang mendakwa ia ditipu Najib untuk melabur AS$505 juta (RM2.3 bilion)
dalam EHP.
Najib dilaporkan berkata, beliau menggesa kerajaan pada awal
Feb lalu mendedahkan “put option” yang menjadi sebahagian perjanjian itu,
tetapi Putrajaya mendiamkan diri.
Katanya, “put option” itu akan membolehkan Felda menjual
semula 37% saham EHP kepada syarikat Indonesia itu pada harga pembelian asal
ditambah kadar faedah tahunan 6% yang ditanggung EHP. - FMT



