Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih
untuk membela diri terhadap semua tujuh tuduhan pecah amanah, rasuah dan
pengubahan wang haram menerusi keterangan bersumpah.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan
Mohd Ghazali memberi arahan kepada Najib untuk membela diri atas semua
pertuduhan membabitkan dana RM42 juta untuk kes syarikat SRC International Sdn
Bhd (SRC).
Loading...
Mohd Nazlan kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga
12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.
Perbicaraan kes SRC sebelum ini ditangguhkan selama tiga
kali berikutan peguam bela Harvinderjit Singh mengambil cuti sakit pada 24
Julai dan perkara sama berlaku kepada Najib apabila bercuti sakit selama tiga
hari pada 14 Ogos lalu.
Sementara untuk kali ketiga, pada 15 Julai lalu, apabila
Najib dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi perbahasan dan pengundian
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan untuk menurunkan had umur mengundi di
negara ini daripada 21 kepada 18 tahun.
Bagaimanapun prosiding hanya ditangguhkan setengah hari.
loading...
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang mengambil masa
selama 58 hari di peringkat kes pendakwaan disifatkan antara yang paling
singkat berlangsung.
Najib berdepan tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga
pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Menurut Mohd Nazlan, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC
dan mempunyai kawalan keseluruhan menyebabkan RM42 juta didepositikan ke dalam
akaunnya bagi kepuasannya.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut
Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan
dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.
Jika sabit kesalahan, Najib boleh dikenakan hukuman penjara
maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai hasil
aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi. - Astro Awani


