Tenang serta tidak mudah melatah berdepan dengan pelbagai
kritikan, asakan dan tidak terkecuali
cubaan untuk menjatuhkanya daripada jawatan Menteri Besar Perak,
begitulah sikap Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ketika belum sampai setahun mengemudi pentadbiran kerajaan
negeri Perak, tahun lalu kedengaran spekulasi terdapat komplot ingin
menggulingkan Ahmad Faizal atau mesra disapa Peja, lebih mengejutkan ia didakwa
didalangi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sendiri.
Loading...
Hari ini, sikap positif Ahmad Faizal itu mendapat pujian
daripada Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa kerana berjaya menghadapi
segala tuduhan cubaan menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dengan tenang.
“Pada tahun ini, ada berlakunya beberapa perkara yang boleh
menarik perhatian seperti cubaan untuk mengoyang kerajaan negeri yang dilakukan
oleh dua tiga wakil rakyat untuk menjatuhkan menteri besar secara undi tak
percaya dan sebagainya.
“Tetapi Alhamdulillah ia tidak sampai ke tahap yang serius,
hanya tuduh menuduh saja, maklumlah sesuatu kerajaan yang bergantung majoriti
yang tipis, mestilah ada pihak yang cuba untuk mengubah ‘status quo’ bagi
mendapatkan kuasa,” titah baginda pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia,
Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari
Keputeraan ke-63 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di
sini, hari ini.
loading...
Titah Raja Muda Perak kebelakangan ini, isu-isu perpaduan
semakin rancak diperkatakan ditambah dengan fitnah menerusi media sosial selain
terdapat pihak yang membuat kenyataan sensitif mengenai kehidupan pelbagai kaum
di negara ini serta penganjuran program untuk satu kaum sahaja.
“Sama ada ini betul atau hanya retorik tidak dapat
ditentukan dengan tepatnya. Rasanya Kebanyakannya adalah retorik untuk meraih
sokongan politik dan sesuatu agenda. Oleh itu, rakyat dirayu supaya bertenang
dan mengekalkan keharmonian,” titah baginda.
Baginda turut menyentuh mengenai ura-ura akan berlakunya
Pilihan Raya Negeri di Perak baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai sesuatu
yang membuang masa.
“Jika pilihan raya diadakan semula di Perak, akan hampir
sama kerana ratio penduduk bumiputera dan bukan bumiputera hampir sama. Jadi
mengapa kita bendak buang masa?
“Lebih baik memberi fokus kepada isu-isu pembangunan dan
terus memajukan negeri ini supaya dapat
mengejar negeri-negeri lain yang sudah maju atau bersiap untuk mencapai Wawasan
Kemakmuran Bersama 2030,” titah Raja Muda Perak.
Raja Jaafar juga bertitah isu Konvensyen Antarabangsa
Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom Mahkamah Jenayah
Antarabangsa telah melekatkan negara di kedudukan serba salah, sama ada
mengiktiraf atau mengetepikannya.
Baginda bertitah jika kontrak sosial atau Perkara 153
Perlembagaan Persekutuan boleh diterima serta dianggap sebagai hak istimewa
sesuatu kaum dan bukannya diskriminasi, mungkin ICERD boleh diterima, tetapi
dengan adanya pelbagai persepsi serta kebimbangan tidaklah ia dipersetujui oleh
ramai kaum bumiputera. — Bernama


