Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menasihati rakyat
Malaysia supaya membaca akhbar setiap hari bagi memelihara minda agar sentiasa
aktif.
Dalam ruangan beliau yang disiarkan oleh akhbar New Sunday
Times hari ini bertajuk "Here's my recipe for staying healthy" (Ini
resipi saya kekal sihat), menyebut bahawa apabila bercakap atau memberi ucapan,
memori kata-kata dan frasa dan pilihan perkataan akan mudah keluar dari minda
hasil daripada kerap membaca.
Loading...
Dan sekiranya seseorang itu tidak membaca atau kurang
membaca, perkataan tidak akan mampu keluar secara spontan apabila bercakap atau
memberi ucapan.
"Membaca akhbar setiap hari juga dapat membantu minda
aktif dan memperbaiki kapasiti untuk membentuk perkataan dan frasa.
“Adalah biasa bagi seorang yang berusia untuk mengingati
kejadian yang lepas berbanding yang baru berlaku. Namun ini boleh diperbaiki
dengan membaca dan bercakap,” tulis Dr Mahathir.
Perdana Menteri berusia 94 tahun itu menumpukan kebanyakan
isi ruangan tersebut bagi menjawab satu soalan yang sering ditanya berulang
kali oleh orang ramai kepada beliau iaitu mengenai kemampuan beliau untuk terus
berfungsi pada usia sebegini.
“Saya rasa menjadi kewajiban untuk menjelaskan mengenai
pengalaman saya walaupun sekiranya ia tidak berdasarkan hasil daripada kajian
saintifik. Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana saya ini, apa saya ini. Apa
yang boleh saya katakan ialah saya bernasib baik kerana tidak mengalami
sebarang penyakit yang boleh memendekkan umur seseorang itu,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau pernah kena serangan jantung 30
tahun lepas tetapi terselamat, dan menambah bahawa serangan jantung bukanlah
semestinya berkesudahan mati seperti yang dianggapkan.
Beliau menjelaskan bahawa sudah tentu banyak perkara adalah
di luar kawalan kita dan kita hendaklah lakukan yang terbaik untuk mengawal
diri kita agar terus kekal sihat dan berkemungkinan boleh terus hidup hingga
usia tua.
“Disiplin diri atau keupayaan untuk mengawal apa yang kita
boleh lakukan dalam kehidupan adalah penyelamat nyawa. Kita perlu sentiasa
berusaha untuk mengawal keinginan diri,” katanya lagi.
'Badan tak perlu banyak makanan'
Amalan pemakanan yang baik adalah resipi pertama Dr Mahathir
untuk hidup terus sihat, dan berkata, kita hendaklah makan untuk hidup dan
bukan hidup untuk makan.
“Badan benar-benar tidak memerlukan banyak makanan melainkan
apabila seseorang itu muda dan sedang membesar. Bagi mereka makanan diperlukan
untuk memastikan pertumbuhan badan yang sihat. Masih lagi, jumlah makanan tidak
sepatutnya melebihi daripada apa yang diperlukan.
"Kegemukan selalunya berlaku hasil daripada makan
berlebihan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Dan kegemukan tidak
bagus untuk kesihatan dan umur."
Beliau berkata, kanak-kanak membesar gemuk kerana ibu bapa
memaksa anak mereka mengambil banyak makanan yang tidak sepatutnya.
Sebaliknya ibu bapa hendaklah mengajar anak mereka untuk
makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dan kurangkan nasi atau karbohidrat
dan tentunya kurangkan gula.
Mengulas lanjut mengenai kegemukan yang mempengaruhi satu
peratusan yang tinggi terhadap rakyat Malaysia, Dr Mahathir berkata masalah itu
selalunya bermula pada umur 40 tahun kerana kecenderungan pada umur berkenaan
untuk makan sebanyak mungkin makanan sedap yang ada dan apabila makanan itu
sedap, lebih banyaklah yang akan dimakan.
Perut pula akan bertindak balas kepada pengambilan yang lebih
banyak dengan mengembang lagi dan apabila ini berlaku lebih banyak makanan
diperlukan untuk mengisi rasa lapar, dan ini berkesudahan dengan kenaikan berat
badan sedangkan kegemukan adalah tidak baik untuk kesihatan.
Dan dengan keadaan badan yang begitu besar, jantung perlu
bekerja kuat untuk mengalirkan darah dan menyerap makanan ke dalam badan yang
terlebih berat dan untuk menanggung kerja kuat itu, jantung mengembang manakala
tekanan darah terus naik hingga membawa bersama-sama semua jenis simptom dan
penyakit yang berkaitan dengannya.
“Jadi untuk mengelakkan penyakit darah tinggi, kurangkan
makan dan jangan jadi gemuk. Selain jantung, organ lain dalam badan seperti
hati, buah pinggang dan pankreas juga akan mengalami banyak tekanan. Mana-mana
satu organ berkenaan kemungkinan akan gagal berfungsi dan seterusnya pendekkan
umur,” katanya.
-Bernama


