Kementerian Pendidikan dikatakan telah memuktamadkan sukatan
pelajaran tulisan Jawi untuk sukatan pelajaran Bahasa Malaysia murid tahun
empat termasuk di sekolah jenis kebangsaan yang dijangka dilaksanakan bermula
tahun depan.
Sukatan tersebut dilaporkan memberi tumpuan terhadap teks
jawi pada lambang negara, duit kertas ringgit Malaysia dan setem.
Loading...
Memetik laporan Malaysiakini, secara keseluruhannya sukatan
tulisan itu mengetengahkan perkataan teks Jawi seperti 'Bersekutu Bertambah
Mutu' pada jata negara, 'Bank Negara Malaysia' dan 'Ringgit Malaysia' pada wang
kertas serta perkataan 'Malaysia' pada setem.
"Pada minggu lalu, Kementerian Pendidikan telah
memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman teks tulisan Jawi," lapor
portal itu hari ini.
Menurut Malaysiakini lagi, para guru diminta membimbing
pelajar mengenali teks Jawi dan membentangkannya kandungan sukatan pelajaran
itu yang dijangka diperkenalkan mulai tahun depan.
Dalam pada itu, sumber Kementerian Pendidikan memaklumkan
kepada Sinar Harian bahawa pihaknya akan menyemak mengenai kesahihan laporan
itu dengan segera.
Sejak rancangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan
sukatan teks Jawi bagi murid tahun empat menerima pelbagai tentangan pelbagai
pihak termasuk Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina
Malaysia(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina
Malaysia (Jiao Zong).
Malah mereka dilaporkan akan mengadakan persidangan
pertubuhan Cina pada 28 Disember ini untuk membantah pelajaran pengenalan
kepada tulisan Jawi di sekolah vernakular.
Selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan
itu, gabungan persatuan itu turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu
bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk
memulangkan garis panduan pelajaran tulisan Jawi kepada Kementerian Pendidikan
sebagai tanda bantahan.
Akhbar Sinchew Daily melaporkan kenyataan mereka, kedua-dua
persatuan juga menegaskan peranan lembaga pengelola sekolah dalam membuat
keputusan selain mahu Kementerian Pendidikan menarik balik garis panduan yang
dikeluarkan. - Sinar Harian


