Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, harus
menghormati keputusan kabinet mengekalkan kebenaran pembelajaran tulisan Jawi
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu termasuk di sekolah-sekolah vernakular.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,
justeru menyarankan kumpulan pendidikan Cina itu agar tidak meneruskan hasrat
melangsungkan kongres bagi membantah pembelajaran tulisan Jawi pada 28 Dis ini.
Loading...
"Saya rasa perkara ini kita sudah cari jalan kompromi,
jalan tengah, kerana ia sudah dibincangkan begitu panjang dalam kabinet, dan
kita sudah capai kata sepakat atau konsensus.
"Paling penting kita kena memandang ke depan kerana ada
empat isu utama yang rakyat Malaysia mahukan, membabitkan ekonomi, kos sara
hidup, perumahan dan pekerjaan. Tolonglah fokus empat perkara ini kerana ia
paling mustahak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan
sidang kemuncak e-Usahawan Hero Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS),
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Facebook Malaysia di Pusat
Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed memberi amaran
mengenai akibat sekiranya kumpulan itu meneruskan kongres yang dirancang kerana
ia mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga menganjurkan kongres bagi
membincangkan usaha menutup sekolah-sekolah vernakular Cina.
Perdana Menteri turut menasihatkan setiap pihak bertimbang
rasa terhadap sentimen pihak lain.
Tahu promosi produk
Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengesahkan akan tetap
melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun
Empat, pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan.
Walaupun mendapat bantahan mengenai pengajaran tulisan Jawi
di sekolah-sekolah vernakular, bulan lepas Mahkamah Tinggi di George Town,
Pulau Pinang memutuskan bahawa pengajaran tulisan Jawi adalah sebahagian
daripada Bahasa Malaysia, dan boleh diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.
Sementara itu ,mengulas program e-Usahawan Hero Muda 2019,
Syed Saddiq berkata ia antara langkah proaktif KBS untuk menggalakkan inovasi,
meningkatkan kemahiran bakat, serta mengasah kemahiran generasi muda.
"Mereka (usahawan muda) ini memang dilatih menjadi
usahawan muda, khususnya dalam bidang digital agar mereka tahu bagaimana untuk
mempromosi produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi,”
katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan
Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.
Program e-Usahawan Hero Muda 2019 berjaya melatih seramai
20,653 anak muda di seluruh negara, membabitkan nilai jualan keseluruhan
sebanyak RM52.4 juta.
Menerusi program itu, anak muda dilatih menjadi usahawan,
khusus dalam bidang digital, dengan cara mempromosi produk menggunakan
teknologi tinggi, dalam dunia globalisasi.
Sejak dilancarkan pada 2015, program itu melatih 328,948
usahawan mikro di seluruh negara, dengan transaksi jualan melebihi RM668 juta.
- Bernama


