“KITA mendedahkan perkara ini kepada umum kerana ia
kepentingan awam. Kita tidak mahu tindakan yang mencabar kewibawaan badan bebas
seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.
Hari ini, SPRM mendedahkan sembilan audio konspirasi jenayah
tertinggi membabitkan rakaman perbualan beberapa individu termasuk bekas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Loading...
Selain Najib, perbualan suara itu turut membabitkan isteri
beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri
Dzulkifli Ahmad; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez
Abdul Rahim dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.
Individu lain pada rakaman perbualan itu membabitkan Putera
Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua
Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.
loading...
Rakaman audio itu didedahkan kepada umum dan diperdengarkan
kira-kira 45 minit menerusi sidang media oleh Latheefa di Putrajaya, hari ini.
Perbualan antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan Najib Razak
“Can I advise you something?” kata Rosmah kepada Najib
Latheefa berkata, rakaman audio itu diterima pihaknya
beberapa hari lalu membabitkan salah guna kuasa, konspirasi jenayah berhubung
skandal mega SRC International dan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Katanya, selepas menerima rakaman itu, pihaknya
menghantarnya kepada forensik bagi mengenal pasti suara setiap individu
terbabit.
“Dokumen rahsia ini dikongsikan (menerusi perbualan itu) dan
ini jelas mencabar kewibawaan. Sebab itu bagi kami penting untuk didedahkan
untuk kepentingan awam,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, dokumen berkenaan akan
diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat dan pihak SPRM
juga akan menjalankan siasatan.
“Saya sudah arahkan pegawai saya mengambil tindakan
sepatutnya dan menyerahkan rakaman ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan
siasatan selanjutnya. Kita tidak mendedahkan penghantar rakaman ini atas faktor
keselamatan.
“Kita percaya apa yang saya katakan tadi wujud salah guna
kuasa, jelas menutup konspirasi jenayah jadi, kita percaya ini memerlukan
kepada siasatan serius.
“Terdapat elemen rasuah tetapi majoriti daripada kesalahan
berkaitan di bawah Kanun Keseksaan jadi, kita menyerahkan kepada polis
memulakan siasatan,” katanya.
Ditanya sama ada pendedahan audio itu memberi kesan kepada
kes yang sedang berjalan di mahkamah, Latheefa menjelaskan ia untuk kepentingan
awam.
“Saya tidak melihat ia akan memberi kesan dan ini adalah
kepentingan awam membabitkan keselamatan negara yang serius.
“Jadi saya tak lihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi dan
memberi prejudis terhadap kes sedang berjalan. Tambahan pertuduhan berkaitan
rakaman ini pula, kita akan menunggu siasatan terlebih dulu,” katanya. - Harian Metro


