Seorang jurudawai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari
ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menendang mangsa pada
November tahun lepas.
Mohd Faizal Jamaludin, 36, bapa lima anak itu, mengaku tidak
bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet
Paya Wan.
Loading...
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah
terhadap isterinya yang berusia 38 tahun dan tidak bekerja itu dengan menendang
sehingga mangsa patah tangan kanan di sebuah rumah di Taman Paya Emas di sini,
pada 11.30 malam, 17 November 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca
bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun
dan sebatan, jika sabit kesalahan.
loading...
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos
tidak mencadangkan sebarang jaminan disebabkan tertuduh pernah didakwa atas
kesalahan sama pada April 2019.
Hakim Elesabet kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat
jamin dan diarahkan ditahan di lokap penjara sementara menunggu sebutan semula
kes dan lantikan peguam pada 10 Februari. — Bernama


