KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Tun Dr Mahathir Mohamad mahu supaya
Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) diterima sebagai satu misi nasional dengan
setiap rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menarik kehadiran pelancong
antarabangsa.
Perdana Menteri berkata melalui kempen berkenaan, kerajaan
menyasarkan untuk mencapai seramai 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100
bilion pendapatan dalam sektor pelancongan.
Loading...
Bercakap di hadapan kira-kira 80,000 pengunjung sempena
sambutan Ambang 2020@Kuala Lumpur dan pelancaran VM2020 di Dataran Merdeka di
sini, beliau berkata sektor pelancongan adalah satu industri yang berupaya
melibatkan setiap lapisan masyarakat dan tidak mempunyai had kepada sesiapa
yang menceburinya.
"Kesan limpahan ataupun spill over effectnya amat
menyeluruh dan rakyat boleh memilih untuk menceburinya mengikut keupayaan,
kreativiti dan cita rasa diri masing-masing," kata perdana menteri.
loading...
Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 dan pelancaran VM2020 yang
dianjurkan bersama tiga kementerian - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia -
turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Menteri Kabinet.
Dr Mahathir berkata VM2020 bertujuan memperkukuh industri
pelancongan yang telah terbukti memberi sumbangan besar kepada negara.
Sumbangan industri berkenaan kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) pada tahun lepas memperlihatkan peningkatan kepada 15.2 peratus
dengan nilai RM220.6 bilion, berbanding 14.6 peratus dengan nilai RM201.4
bilion pada 2017, katanya.
Dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, beliau
berkata industri pelancongan kekal kompetitif dan pada tahun lepas, guna tenaga
dalam industri ini meningkat 4.9 peratus kepada 3.5 juta orang dan menyumbang
23.5 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga negara berbanding 22.9
peratus pada 2017.
Bagi 2019, Dr Mahathir berkata industri pelancongan negara
dari Januari hingga September menunjukkan prestasi amat menggalakkan dengan
ketibaan pelancong asing meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang
berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama pada 2018.
Perbelanjaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga
September, katanya, turut menunjukkan peningkatan 6.9 peratus iaitu RM66.14
bilion, berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama pada 2018.
"Saya perincikan statistik tersebut untuk memperlihat
kepada hadirin betapa besarnya peluang yang terdapat di dalam industri
pelancongan dan ia terus berkembang setiap tahun," katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia beruntung kerana pada 2020,
Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi
Asia-Pasifik (APEC) 2020 dengan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke Arah Masa
Depan Kemakmuran Bersama’.
"Saya yakin kita berupaya menjadi penganjur yang baik
terutama dalam apa yang kita gelar sebagai Hospitaliti Malaysia atau Malaysian
Hospitality.
"Apa yang telah saya sebut cuma peratusan kecil
daripada apa yang telah kita rancang untuk tahun 2020 dan banyak lagi acara dan
program yang akan dilaksana.
"Saya percaya, rakyat juga berkongsi harapan bersama
kerajaan yang mahu supaya semua program yang telah kita susun akan mencapai
kejayaan," kata Dr Mahathir.
Sebelum ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 mengumumkan
peruntukan RM90 juta, khas untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program
sempena kempen berkenaan.
Ini adalah kempen kelima Tahun Melawat Malaysia dengan tema
‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’, yang menggunakan logo berinspirasikan batik
Malaysia menampilkan pelbagai ikon negara seperti burung kenyalang, bunga raya,
pakis liar dan warna-warna Jalur Gemilang.
Kempen Tahun Melawat Malaysia yang pertama diadakan pada
1990 dengan tema "Fascinating Malaysia" diikuti edisi kedua pada 1994
bertemakan "Fascinating Malaysia - Naturally More" dan edisi ketiga
pada 2007 dengan tema "Celebrating 50 Years of Nationhood" manakala
yang keempat dilancarkan pada 2014 dengan slogan "Meraikan 1Malaysia Truly
Asia". - Bernama


