Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini, menolak permohonan
GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan
Tamil di seluruh negara.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi,
Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada
Bahasa Malaysia, yang juga Bahasa Kebangsaan.
Loading...
Beliau berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh
kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan
1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, GERAKAN memfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat
pada 18 September lalu, bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan
pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.
loading...
Menerusi permohonannya, GERAKAN percaya pengajaran tulisan
Jawi boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti
yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.
GERAKAN melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai, menamakan
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalannya, Teo Nie Ching, dan Kerajaan
Persekutuan sebagai responden.
Sementara itu, Amarjit juga menolak hujah Peguam Kanan
Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali bahawa Dominic Lau tiada locus standi untuk
menyaman kerajaan kerana beliau adalah presiden sebuah parti politik.
Amarjit menetapkan kes itu ditolak tanpa sebarang kos, dan
GERAKAN diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong. - BH Online


