Video tular memaparkan pertengkaran diantara anggota Jabatan
Imigresen dan beberapa individu di Batu Caves. Foto: Berita RTM
Seorang lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan insiden
anggota penguat kuasa Imigresen dihalang daripada melakukan operasi di Batu
Caves dekat sini, Jumaat lepas, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini tiga
orang.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata
suspek berumur 38 tahun itu ditahan di sekitar Batu Caves pukul 9 malam tadi.
Loading...
“Polis sedang mengesan beberapa lagi orang yang ada dalam
rakaman video yang tular untuk membantu siasatan insiden itu,” katanya kepada
pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah
Petaling Jaya di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih menyiasat sama ada ketiga-tiga
lelaki yang telah ditahan itu terlibat dengan mana-mana kumpulan kongsi
gelap.
loading...
“Polis akan jalankan siasatan daripada semua sudut berhubung
perkara ini,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 506
Kanun Keseksaan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata
polis menahan dua lelaki berusia 47 dan 56 tahun bagi membantu siasatan insiden
anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di
kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.
Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan
kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan
individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing dari
India dan Pakistan di Batu Caves.
Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak
bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan
negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.
Pada majlis itu, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan SAC Mohd Zani Che
Din.
Mohd Zani telah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah
(D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman
yang baharu.
- Bernama


