Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos memohon
supaya kes saman fitnah yang difailkan dua menteri terhadapnya berhubung dana
Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dibicarakan bersama.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan
Iklim Yeo Bee Yin dan Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim memfailkan
saman itu secara berasingan pada 2017 selepas mendakwa Jamal mengeluarkan
kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berhubung penyalahgunaan dana Yawas.
Loading...
Peguam Rejinder Singh, yang mewakili Jamal berkata anak
guamnya mengemukakan permohonan itu atas alasan isu dalam kedua-dua saman
berkenaan adalah sama kerana ia membabitkan penyalahgunaan dana Yawas dan saksi
yang terlibat juga sama.
"Hari ini, kedua-dua pihak telah berhujah di dalam
kamar Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff dan selepas mendengar hujahan,
mahkamah menetapkan 6 Mac untuk memberi keputusan sama ada membenarkan
kedua-dua kes dibicarakan bersama atau sebaliknya," katanya kepada
pemberita selepas pendengaran permohonan itu, hari ini.
loading...
Rejinder turut dibantu peguam Mohammed Nasser Yusof dan
Mohamad Fauzi Abdul Samad.
Peguam K Murali yang mewakili Yeo, berkata pihaknya
membantah permohonan berkenaan berikutan jadual kedua-dua menteri tersebut
tidak sama dan ini menyukarkan mereka hadir ke mahkamah sekiranya kes saman itu
dibicarakan bersama.
Kes saman Yeo didengar di hadapan Rozana manakala kes saman
difailkan Kok didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay
Chew Soon.
Yeo dan Kok selaku plaintif masing-masing memfailkan saman
itu pada 14 Jun dan 6 April 2017 dengan menamakan Jamal selaku defendan
tunggal.
Dalam kedua-dua saman itu, Yeo dan Kok mendakwa Jamal telah
mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berkaitan dana Yawas dan kenyataan
berkenaan disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial
Facebook milik Jamal.
Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain
memberikan gambaran bahawa mereka telah menyalahgunakan dana tersebut untuk
kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.
Yeo dan Kok, masing-masing menuntut ganti rugi am RM5 juta
dan RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah
injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan
semula kenyataan fitnah berkenaan.
-Bernama


