Pengarah Urusan Kumpulan Putrajaya Perdana Bhd (PPB)
memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa sejumlah RM32 juta
dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak atas arahan ahli
perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Datuk Rosman Abdullah berkata wang berkenaan dipindahkan ke
dalam akaun bekas perdana menteri yang berakhir dengan nombor 880 dan 906 pada
2014 melalui dua transaksi iaitu sebanyak RM27 juta pada 8 Julai, 2014 dan RM5
juta pada 10 Sep, 2014.
Loading...
Bagaimanapun saksi pembelaan itu berkata pada waktu itu,
beliau tidak mengetahui akaun berkenaan milik Najib.
"Semasa pemindahan wang itu, saya tidak tahu akaun
AmPrivate Banking-1MY dan AmPrivate Banking-MY itu milik Najib. Saya terkejut
apabila mendapati ada artikel di internet yang mendakwa akaun berkenaan milik
Najib.
loading...
"Apabila saya ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2015, penyiasat juga memberitahu saya perkara
yang sama," katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Farhan
Read.
Sebelum itu, Rosman, 53, memaklumkan mahkamah bahawa RM32
juta dipindahkan daripada RM170 juta yang dikreditkan ke akaun Putra Perdana
Construction Sdn Bhd (PPC), anak syarikat PPB antara Julai dan September 2014.
Rosman berkata beliau diberitahu bahawa transaksi (RM170
juta) pada masa itu oleh Jho Low dan Jho Low memaklumkannya bahawa dana
berkenaan merupakan pendahuluan bagi satu kontrak yang sedang beliau rundingkan
untuk dimeterai oleh PPC.
"Beliau berkata beliau akan memastikan bahawa jika
RM170 juta tidak digunakan untuk kontrak yang dicadangkan itu, beliau akan
memastikan bahawa akan ada pembayaran balik tanpa liabiliti akan terakru kepada
kumpulan PPB.
"Memandangkan Jho Low masih merupakan pemilik
benefisial Kumpulan PPB pada masa itu, saya tidak fikir saya mempunyai hak
dalam hal ini selagi tidak ada liabiliti kepada Kumpulan PPB apabila pembelian
saham muktamad.
"Sebelum penangkapan saya oleh agensi antirasuah pada
Julai 2015, Jho Low merupakan ahli perniagaan yang cekap dan boleh dipercayai
dan kami menjadi, pada saya pada masa itu satu hubungan profesional yang mesra.
Saya juga memikirkannya sebagai pengurus mikro.
"Berikutan penangkapan dan reman saya, dan kini
mempunyai gambaran yang jelas mengenai apa yang berlaku dalam episod pemindahan
RM170 juta itu, saya menggambarkannya sebagai penipu yang sangat licik dan
berkesan dalam hal pemindahan berkenaan," kata saksi pembelaan kelapan
itu.
Untuk rekod, Rosman adalah pemegang saham utama Kumpulan PPB
melalui syarikat milik penuhnya, Cendana Destini Sdn Bhd dan syarikat itu
memperoleh kepentingan dalam kumpulan PPB dari UBG Bhd, yang dimiliki Jho Low,
pada harga pembelian RM240 juta.
Perjanjian penjualan itu pada 2012 tetapi pemerolehan
berkenaan hanya selesai pada 13 April 2015 selepas harga pembelian sebanyak
RM240 juta dibayar sepenuhnya.
Rosman berkata Jho Low masih pemilik benefisial kumpulan PPB
pada masa transaksi RM170 juta berkenaan.
Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng
RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga
pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan
wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali
bersambung esok.
- Bernama


